JOHOR BAHRU, 22 Okt -- Kehadiran pengunjung ke Taman Negara di Johor bukan sahaja dapat merancakkan sektor pelancongan, tetapi dilihat dapat membantu ekonomi penduduk setempat.
Penaung Diraja Perbadanan Taman Negara Johor (PTNJ) Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar Al-Haj Sultan Ibrahim bertitah Taman Negara di negeri ini yang kaya dengan kepelbagaian flora dan fauna adalah destinasi ekopelancongan popular dan menarik.
Menurut baginda, Taman Negara Johor juga menerima ribuan pengunjung kerana terdapat pelbagai aktiviti menarik dapat dilakukan bersama keluarga, rakan-rakan atau secara berkumpulan.
“Saya menggalakkan orang ramai untuk menikmati keindahan alam semula jadi negeri Johor di Taman-Taman Negara ini.
“Kedatangan pengunjung bukan sahaja membawa manfaat kepada rakyat, tetapi juga pendapatan kepada PTNJ untuk meneruskan usaha-usaha konservasi alam sekitar,” titah Tunku Idris menerusi hantaran di laman Facebook The Royal Johor hari ini.
Tunku Temenggong Johor bertitah selepas hampir enam bulan ditutup akibat pandemik COVID-19, berita mengenai operasi Taman Negara Johor bermula 1 November ini sememangnya dinantikan orang ramai.
Bagaimanapun, baginda berharap agar para pengunjung mematuhi syarat-syarat ditetapkan oleh PTNJ dan sentiasa menjaga kesihatan dan keselamatan diri.
“Pada masa sama, bersama-sama kita menjaga kebersihan dan keindahan Taman-Taman Negara Johor,” titah Tunku Idris.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial