KUALA LUMPUR, 6 April (Bernama) -- Kes saman fitnah difailkan Datuk Fahmi Fadzil terhadap Wan Muhammad Azri Wan Deris atau lebih dikenali sebagai “Papagomo” pada 2023 berhubung dakwaan kononnya Menteri Komunikasi itu menyampaikan ceramah politik di sebuah masjid di Rawang, Selangor diselesaikan di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.
Peguam Asheeq Ali Sethi Alivi, yang mewakili Fahmi, semasa sidang media berkata kedua-dua pihak telah mencapai penyelesaian kes secara damai.
"Ini kenyataan yang telah dan dipersetujui bersama iaitu setelah mempertimbangkan penjelasan lanjut dan kenyataan dari pihak berkuasa daripada dalam surat khabar, ucapan plaintif di Masjid Nurul Yaqin, Kuang, Rawang, Selangor pada 30 Julai 2023 bukan satu kempen ceramah politik atau kenyataan berunsur politik.
"Isu yang timbul adalah salah faham yang tidak sepatutnya berbangkit sejak awal dan pihak-pihak bersetuju untuk tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan selain yang telah dipersetujui dalam kenyataan ini," katanya selepas prosiding di hadapan Hakim Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan.
Sementara itu, Asheeq berkata saman terhadap penceramah bebas, Ahmad Dusuki Abd Rani akan diteruskan dengan perbicaraan esok selepas pihak-pihak gagal mencapai penyelesaian kes.
"Esok, YB Fahmi akan mula memberi keterangan untuk kes Ahmad Dusuki," kata peguam itu.
Sementara itu, Fahmi semasa sidang media merakamkan ucapan terima kasih kepada barisan peguam beliau kerana menguruskan mediasi antara dua daripada tiga defendan.
"Dua daripada tiga kes ini telah membersihkan nama saya, tuduhan dibuat sebelum ini memang tidak wajar dan tidak patut dilakukan serta ia berbentuk fitnah. Saya harap pada masa depan dalam apa-apa kes sekali pun kita semak dulu maklumat sebelum kita buat hantaran dalam media sosial dan harap kita mengambil pengajaran daripada insiden ini," katanya.
Terdahulu, kes saman fitnah difailkan Fahmi terhadap pemilik akaun Facebook “N13 Kuang” Mohd Fauzan Madzlan berhubung isu sama telah diselesaikan di Mahkamah Tinggi di sini.
Berdasarkan writ saman dan pernyataan tuntutan difailkan pada 5 Sept 2023, Fahmi mendakwa ketiga-tiga defendan menyiarkan kata-kata fitnah yang mendakwa beliau menyalahgunakan tempat beribadah iaitu masjid bagi tujuan kempen pilihan raya dan bertindak bertentangan dengan titah dan perintah Sultan Selangor.
Fahmi mendakwa kata-kata fitnah itu disiarkan di akaun Facebook milik Mohd Fauzan serta akaun Facebook dan Instagram milik Ahmad Dusuki pada 31 Julai 2023, manakala di akaun TikTok dan Facebook Wan Muhammad Azri pada 1 Ogos tahun sama.
Beliau berkata kenyataan fitnah itu tidak berasas dan pihak Majlis Agama Islam Selangor telah mengesahkan bahawa beliau sama sekali tidak memberikan ucapan berbaur politik sepertimana yang difitnah oleh defendan.
Oleh itu, plaintif menuntut ganti rugi am, teruk atau teladan dan perintah injunksi bagi menghalang kesemua defendan daripada mengulangi atau menyebabkan penerbitan semula kenyataan fitnah itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial