AM

Kepelbagaian dasar, perkhidmatan mesra perniagaan tarik pelaburan ke Sarawak - Awang Tengah

22/10/2021 07:40 PM

Oleh Hamdan Ismail

KUCHING, 22 Okt  -- Kerajaan Sarawak tidak bergantung sepenuhnya kepada kedudukan geografi yang strategik dan sumber aslinya untuk menarik pelaburan ke negeri ini tetapi sentiasa menambah baik dasar dan perkhidmatan bagi mengekalkan ekosistem yang baik untuk perniagaan.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata kerajaan negeri cakna dengan keperluan pelabur yang mahukan iklim perniagaan sesuai untuk menanam modal mereka dan seterusnya memperoleh manfaat daripada usaha mereka.

“Dia (pelabur) juga fikirkan dari segi kedudukan negeri dan kami sangat bernasib baik dari segi kedudukan kita…sangat strategik, cuma enam jam sahaja ke China melalui penerbangan.

“Dan kami menaik taraf hubungan jalan raya kami, hubungan jalan laut dari segi pelabuhan, hubungan jalan udara, lapangan terbang kita naik taraf dari semasa ke semasa dan sistem telekomunikasi kita juga pertingkatkan,” katanya dalam wawancara khas bersama Bernama di pejabatnya, baru-baru ini.

Awang Tengah berkata, dasar ‘mesra perniagaan’ yang dipelopori Ketua Menteri Sarawak kelima yang kini Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud diteruskan dan ditambah baik oleh ketua-ketua menteri selepasnya iaitu Allahyarham Tan Sri Adenan Satem dan Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mengikut keperluan semasa dan peralihan semasa.

Beliau yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Industri dan Pembangunan Usahawan Sarawak berkata pandemik COVID-19 yang melanda negara sejak dua tahun lepas telah menjejaskan perancangan misi perdagangan Sarawak.

“Dalam tempoh pandemik ini semuanya terhenti. Banyak yang terjejas tetapi kita bersyukur bahawa dalam keadaan yang mencabar ini pun pelabur masih lagi berminat walaupun kita tidak dapat berjumpa secara fizikal tetapi kita selalu mengadakan mesyuarat, perjumpaan secara maya,” katanya.

Hasil daripada kaedah perjumpaan secara dalam talian ini, beliau berkata Sarawak masih mampu menerima pelaburan bernilai RM15.7 bilion dalam tempoh dua tahun ini dan seterusnya meletakkan negeri ini kekal sebagai destinasi pelaburan utama di Malaysia. 

Menerusi pertemuan berkenaan, beliau berkata, pelabur mendapat penjelasan jelas berhubung dasar mesra perdagangan Sarawak yang antara lainnya meliputi tarif elektrif dan air yang kompetitif dan premium tanah berpatutan.

“Malahan kalau dia (pelabur) dapat menyiapkan projek itu dalam tempoh masa yang ditetapkan, mereka layak mendapat rebat. Dasar mesra perniagaan itu adalah satu daripada dasar yang menarik pelabur dan kita menyediakannya selain daripada insentif daripada kerajaan persekutuan,” katanya.

Awang Tengah berkata dasar pembangunan dan pelaburan seiring dengan hala tuju pentadbiran Sarawak diterajui Abang Johari yang mahu melangkah lebih jauh lagi ke era Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) dan ekonomi digital.  

Pada masa sama, beliau berkata, penjawat awam Sarawak turut berperanan dengan efisien untuk memenuhi keperluan pelabur dan bersedia memberi penerangan walaupun kadang-kadang perlu mengadakan pertemuan dengan pelabur di luar waktu pejabat.

Menurutnya, mereka yang berminat untuk melabur di Sarawak mahu mengetahui peluang pelaburan yang ada di negeri ini dan memerlukan maklumat daripada para pegawai tertentu dalam kementeriannya tanpa mengira waktu.

“Walaupun di luar waktu pejabat, masa hujung minggu pun saya panggil mereka (pegawai kerajaan negeri) dan kita jumpa pelabur ini. Mereka (pelabur) mahu masa yang pendek untuk kita membuat keputusan,” katanya.

Beliau berkata, selain itu, institusi pengajian dan kolej teknikal di Sarawak turut memainkan peranan menjadikan negeri ini tarikan pelaburan dengan bekerjasama melahirkan tenaga kerja yang bersesuaian dengan keperluan industri.

Menurutnya, kerajaan Sarawak turut mendapat kerjasama daripada pertubuhan perniagaan yang memberi input berhubung bidang yang harus diutamakan menerusi jaringan rakan niaga mereka sendiri di beberapa negara lain.

Dalam perkembangan berkaitan, Awang Tengah berkata kerajaan Sarawak melalui strategi pembangunan pasca COVID-19 menetapkan enam sektor ekonomi diberi penekanan iaitu pembuatan, pertanian, komersial, pelancongan, perhutanan, perhubungan dan perkhidmatan sosial.

“Sektor ini akan dikukuhkan dengan tujuh enabler seperti transformasi digital, inovasi, infrastruktur asas, pengangkutan, utiliti, tenaga boleh diperbaharui serta pendidikan dan pembangunan modal insan,” katanya. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan