Oleh Frank Julian Martin
SIBU, 21 Okt -- Sebagai kawasan yang pernah terkenal dengan industri pembalakan sekitar 1940an dan 1950an, Sibu yang banyak bergantung pada aktiviti komersial kini harus meletakkan dirinya di landasan yang betul agar tidak ketinggalan berbanding bahagian-bahagian lain di Sarawak, ketika negeri ini mencapai visi untuk menjadi maju status negeri menjelang 2030.
Bahagian Sibu yang merangkumi kawasan seluas 8,278.3 kilometer persegi, mengandungi tiga daerah yang terdiri daripada Sibu, Selangau dan Kanowit.
Banyak projek infrastruktur di kawasan-kawasan ini telah disiapkan oleh kerajaan negeri dan masih banyak lagi yang akan dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia ke-12 untuk terus membawa pembangunan ke Sibu, menurut Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg baru-baru ini.
Di daerah Sibu, antara projek yang akan dilaksanakan adalah penambahbaikan Jalan Kong Yit Khim ke jalan raya dua yang menghubungkan Jambatan Durin dan Jambatan Lanang serta jalan baru sejauh sembilan kilometer yang menghubungkan Kemuyang ke Jalan Teku Pasai-Siong.
Ia termasuk projek jalan raya bernilai RM100 juta yang menghubungkan Sibu Jaya dengan Jalan Kong Yit Khim yang sedang dalam pembinaan, yang akan menghubungkan Sibu dengan kawasan pedalaman untuk menjadikan ia sebuah bandar yang lebih cemerlang pada masa akan datang.
Sibu berhasrat untuk mencapai wawasannya menjadi pusat pembangunan di wilayah tengah Sarawak menjelang 2030, dengan misi untuk menerajui wilayah tengah ini, ke arah pembangunan ekonomi yang mapan, sosial, budaya dan pendidikan, menerusi perkongsian pintar antara kerajaan, sektor swasta dan komuniti.
Selain pembangunan infrastruktur, fokus turut diberikan kepada kegiatan ekonomi bagi membolehkan Sibu mencapai wawasannya, dengan salah satunya ialah pembangunan industri pembinaan kapal yang telah menjana eksport bernilai RM279 juta untuk Sarawak pada 2018, RM349 juta pada 2019 dan RM168 juta hingga bulan Oktober 2020.
“(Ini) adalah bukti kemampuan dan kualiti teknikal yang tinggi bagi pembuat kapal tempatan kami," kata Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Perindustrian, Terminal Industri dan Pembangunan Usahawan Negeri baru-baru ini.
Menurutnya terdapat 40 limbungan kapal yang beroperasi di zon itu, menghasilkan kapal tunda untuk penarik kayu balak, tongkang untuk membawa kayu balak, Offshore Support Vessel (OSV), feri dan kapal ekspres, yang biasanya dieksport ke negeri jiran Sabah, Semenanjung Malaysia, Singapura, Indonesia dan Emiriah Arab Bersatu.
Beliau berkata kementeriannya telah menyelesaikan kerja-kerja naik taraf projek Rantau Panjang Fasa I bernilai RM11.7 juta dan kini melakukan pembangunan tambahan seluas 8.4984 hektar untuk projek Rantau Panjang Fasa II yang dijangka siap pada akhir 2022.
Bagaimanapun itu sahaja tidak mencukupi untuk menyaingi jirannya, Bahagian Bintulu, yang berkembang pesat menerusi industri minyak dan gas, yang barangkali dapat menggantikan Sibu sebagai bandar ketiga terbesar di negeri ini dalam beberapa tahun akan datang.
Satu lagi projek yang sedang dilaksanakan ialah pembinaan Taman Perindustrian Sibu yang meliputi kawasan seluas 60.70 hektar di Sungai Bidut, yang dirancang khusus untuk industri am bagi memenuhi permintaan PKS (perusahaan kecil dan sederhana) tempatan yang dijangka siap akhir tahun 2023.
Sementara itu bekas pengerusi Rotary Club Sibu Dr Gregory Hii Sui Cheng berkata Sibu yang mempunyai kawasan pedalaman yang luas, juga berpotensi besar untuk menjayakan konsep pertanian moden bagi pengeluaran makanan yang boleh dieksport.
Di Kanowit, bekas kawasan penempatan Kawasan Keselamatan Rajang (RASCOM) di sini yang pernah dijadikan penempatan semula penduduk desa semasa kemuncak keganasan komunis pada tahun 1970-an, akan dibangunkan semula sebagai Kawasan Pembangunan Ngemah (NDA)
Kawasan penempatan yang meliputi Nanga Tada, Nanga Ngungun, Nanga Jagau, Kabah dan Ngemah itu akan dilengkapi dengan infrastruktur komprehensif bagi meningkatkan starus sosio ekonomi penduduk.
Pertanian komersial untuk meningkatkan ekonomi penduduk di kawasan itu selain dari pembangunan infrastruktur seperti jalan raya, elektrik dan bekalan air; disediakan bagi penduduk kampung di kawasan berkenaan, sebagai menyanjung pengorbanan mereka yang terpaksa dipindahkan satu ketika dahulu dalam usaha memerangi komunis pada tahun 1970-an, dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia ke-12.
Pengerusi Jawatankuasa Pembaharuan Urban Sibu, Datuk Chieng Buong Toon baru-baru ini pula menyuarakan harapan agar kerajaan dapat meneliti untuk mewujudkan metropolis pertama di Sarawak dengan memasukkan bahagian-bahagian di wilayah tengah negeri itu ke dalam Pelan Induk Pembangunan Sibu.
Menurutnya ini dapat dilaksanakan kerana jumlah gabungan penduduk di semua bahagian di wilayah tengah, boleh mencapai sehingga sejuta orang.
-- BERNAMA
© 2025 BERNAMA • Penafian • Dasar Privasi • Dasar Keselamatan