EKONOMI

HDC, CMM bekerjasama melaksanakan pelan bantu PMKS pacu perniagaan

21/10/2021 05:48 PM

KUALA LUMPUR, 21 Okt -- Perbadanan Pembangunan Halal (HDC) dan Capital Markets Malaysia (CMM) bersetuju menjalin kerjasama membabitkan pelan kesedaran serta libat urus industri untuk meningkatkan kefahaman mengenai pilihan pengumpulan dana alternatif menerusi pasaran modal.

Ketua Pegawai Komersial HDC Adly Mohamed berkata pelan selama 12 bulan itu merangkumi pendekatan tiga teras bagi membantu Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) mengembangkan perniagaan masing-masing khususnya dalam aspek pengetahuan, libat urus dan platform dalam talian secara menyeluruh.

Menurutnya, menerusi pendekatan pengetahuan itu, pihak-pihak terbabit akan melaksanakan analisis secara bersama mengenai keperluan usahawan dan perniagaan dalam usaha meningkatkan usaha masing-masing.

Ini termasuk pembangunan mekanisme yang dipermudah untuk memperkasa pengetahuan usahawan terbabit dalam melaksanakan model perniagaan halal serta pembiayaan patuh Syariah.

"Bagi pendekatan libat urus itu, program sedia ada HDC seperti Jelajah Halal Malaysia, Klinik Perniagaan dan Halal Integrated Platform (HIP) akan dimanfaatkan bagi meningkatkan kesedaran mengenai penyelesaian pengumpulan dana patuh Syariah dan menepati keperluan PMKS," katanya.

Beliau berkata demikian pada program 'Pengumpulan Dana Digital Melalui Pasaran Modal Islam: Pemupukan Pertumbuhan Perniagaan Halal'’ anjuran CMM.

Adly turut berkongsi rasa optimis HDC kerana dapat bekerjasama dengan CMM yang juga di bawah kawal selia Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

"HDC amat berbangga dengan usaha bersama CMM ini dalam usaha memastikan industri halal kekal berdaya tahan selain dapat berperanan sebagai penyumbang utama terhadap pemulihan ekonomi global.

"Para pemegang taruh industri halal ini harus tekun dan berpegang teguh kepada usaha untuk merangka pertumbuhan masa depan dengan mewujudkan kerjasama sinergi yang dapat mengangkat industri halal ke peringkat lebih tinggi,” katanya.

Adly berkata, industri halal turut berdepan cabaran berikutan kekurangan dana dan menyifatkan inisiatif SC menerusi 'Toolkit Penilaian Saringan Syariah' sebagai bertepatan kerana dapat membimbing PMKS dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) bagi mendapatkan pendanaan yang patuh Syariah.

SC telah melancarkan mekanisme itu pada Ogos lepas yang juga inisiatif utama suruhanjaya berkenaan dan dijangka dapat menggalakkan lebih banyak penawaran patuh Syariah membabitkan platform patuh Syariah yang berasaskan pasaran alternatif.

"HDC terbuka untuk bekerjasama dengan institusi kewangan sebagai rakan HIP untuk terus memperkukuh dan memajukan sektor halal global, terutamanya dalam meningkatkan jumlah syarikat halal di Malaysia melalui platform digital halal.

“Saya yakin usaha ini akan membuka laluan ke arah kefahaman lebih baik terhadap pembiayaan patuh Syariah yang tersedia untuk PMKS melalui pasaran modal Malaysia.

“Saya juga gembira kolaboratif strategik antara HDC dan CMM ini akan menetapkan penanda aras yang dapat menambah baik pertumbuhan dan kelestarian PMKS halal, bukan sahaja di Malaysia, malah dalam usaha menjadi jaguh halal di arena global,” katanya.

Adly berkata pasaran halal global diunjurkan bernilai US$5 trilion (US$1=RM4.15) menjelang 2030.

Malah, secara global, pasaran halal berkenaan dianggarkan bernilai melebihi US$3.1 trilion setahun.

Industri makanan halal bernilai US$1.6 trilion manakala industri kosmetik dan farmaseutikal halal masing-masing bernilai kira-kira US$39 bilion dan US$97 bilion.

“Inisiatif HDC dalam menyokong industri halal di sektor ekonomi utama seperti pembiayaan, makanan, farmaseutikal, logistik, kosmetik dan perkhidmatan telah menjadi penyumbang besar kepada pertumbuhan ekonomi kita,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan adalah penting untuk Malaysia menetapkan keutamaannya secara tepat, terutama ketika fasa pemulihan ekonomi global pada masa ini.

“Keutamaan kita akan menumpukan aspek memperluas peluang perniagaan untuk memastikan kelestarian seluruh ekosistem halal di Malaysia,” katanya.

Selain itu, HDC dan CMM akan terus menyokong aktiviti pengumpulan dana patuh Syariah berasaskan pasaran, termasuk pendanaan awam ekuiti dan mekanisme pembiayaan rakan setara. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan