LIMBANG, 8 Julai (Bernama) -- Seorang lelaki dilaporkan hilang dipercayai dibaham buaya ketika sedang memancing di tebing sungai berhampiran Kampung Pandam di sini petang tadi.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak dalam kenyataan memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai insiden berkenaan pada 3.13 petang.
“Mangsa dikenali sebagai Karim Osman, 58, dipercayai dibaham buaya semasa melakukan aktiviti memancing di tebing sungai. Saksi kejadian memaklumkan hanya barang-barang peribadi dan peralatan memancing milik mangsa ditemukan di lokasi,” menurut kenyataan itu hari ini.
PGO JBPM Sarawak memaklumkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Limbang tiba di lokasi yang terletak kira-kira 63 kilometer dari balai itu pada 4.30 petang bersama tiga anggota, sebuah bot dan sebuah kenderaan pacuan empat roda.
Menurut kenyataan itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada hari pertama digerakkan sejauh satu kilometer ke hilir dari lokasi mangsa diserang buaya.
“Pasukan operasi melaporkan melihat seekor buaya timbul seketika dengan objek menyerupai jasad manusia berada di dalam mulut reptilia berkenaan. Bagaimanapun atas faktor keselamatan dan keadaan cuaca yang semakin gelap, operasi terpaksa ditangguhkan pada 6.17 petang,” menurut kenyataan itu.
Operasi akan disambung semula pada esok pagi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial