Oleh Linda Khoo Hui Li
BANGKOK, 19 Okt -- Lebih 70 peratus daripada hampir 7.7 juta populasi dewasa di Bangkok sudah lengkap vaksinasi COVID-19, menurut Pentadbiran Metropolitan Bangkok (BMA) di sini, hari ini.
“Sejumlah 14,101,289 dos vaksin telah diberikan sejak program vaksinasi bermula Februari tahun ini. Sebanyak 8,132,826 dos pertama, 5,437,553 dos kedua dan 530,910 dos ketiga atau suntikan penggalak," lapor The Nation memetik BMA.
Berdasarkan rekod pendaftaran sivil, terdapat 7,699,174 penduduk berumur 18 tahun ke atas di Bangkok.
Mulai 1 Nov, Bangkok dan 14 wilayah lain termasuk Krabi, Chiang Mai dan Chonburi dijadualkan menyambut ketibaan pelancong antarabangsa yang lengkap divaksin dari negara berisiko rendah.
Pada hari sama, Thailand bakal menamatkan syarat kuarantin bagi pengunjung lengkap vaksinasi COVID-19 yang masuk menggunakan perkhidmatan udara dari negara berisiko rendah termasuk United Kingdom (UK), Singapura, Jerman, China dan Amerika Syarikat untuk merancakkan kembali industri pelancongan.
Sementara itu, pihak berkuasa tempatan dan kesihatan daerah mengenakan lebih banyak sekatan untuk mengekang penularan COVID-19 di empat wilayah selatan iaitu Pattani, Narathiwat, Yala dan Songkhla berikutan kenaikan mendadak jumlah kes baharu.
Di Pattani, pihak berkuasa tempatan mengenakan sekatan pergerakan di sekurang-kurangnya 22 kampung di Sai Buri dan pihak berkuasa kesihatan turut mendirikan lebih banyak hospital medan untuk menampung peningkatan jumlah pesakit COVID-19.
Media tempatan melaporkan pihak berkuasa turut membuat sekatan di pintu masuk kampung berkenaan.
Situasi COVID-19 di empat wilayah itu mencatat peningkatan kes sejak kebelakangan ini.
Sejak 24 jam lepas, Thailand mencatatkan 9,122 kes baharu COVID-19 dan 71 kematian, menjadikan jumlah jangkitan sebanyak 1,802, 934 manakala korban seramai 18,407.
Daripada kes baharu itu, 621 kes dilaporkan di Pattani, Songkhla (498), Yala (455) dan Narathiwat (453).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial