DUNIA

Ekspo 2020 Dubai: Pavilion China terima 100,000 pengunjung

18/10/2021 04:16 PM

BEIJING, 18 Okt  -- Pavilion China antara yang terbesar di Ekspo 2020 Dubai, merekodkan kehadiran pengunjung seramai 100,000 orang dalam tempoh 20 hari sejak dirasmikan.

Pada Ahad, seorang pelancong dari Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) bersama rakannya menjadi pengunjung ke-100,000 sekali gus menyaksikan jumlah pengunjung pavilion China mendominasi seperenam daripada keseluruhan pengunjung ekspo berkenaan. 

Setakat ini pavilion China yang menyajikan pelbagai teknologi canggih seperti panduan simulasi kereta api berkelajuan tinggi (HSR) telah menerima kunjungan delegasi dari 30 negara termasuk UAE, Austria dan Rusia.

Selain pameran bertemakan teknologi, aspek kebudayaan yang dipamerkan di pavilion itu turut menarik perhatian Timbalan Presiden Zimbabwe, Constantino Chiwenga.

"Pameran berkenaan menonjolkan budaya dan unsur simbolik China yang dapat mencerminkan pembangunan China pada zaman moden," kata beliau.

Sementara itu, Ketua Setiausaha Biro Pameran Antarabangsa (BIE), Dimitri S. Kerkentzes turut mengiktiraf nilai yang ditampilkan pavilion China dan yakin ia mampu menarik kedatangan ramai pelawat.

"Pavilion China bukan sahaja menggambarkan pemahaman negara itu terhadap perpaduan dan kerjasama, malah turut memaparkan konsep nilai dunia berteraskan kerjasama," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan