AM

PMR 2026 Perak Beri Manfaat, Rapatkan Jurang Akses Orang Awam-Kerajaan

05/04/2026 10:26 PM

IPOH, 5 April (Bernama) -- Penganjuran Program MADANI Rakyat (PMR) 2026 Perak di Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru Raya di sini terbukti memberi impak besar dalam menyalurkan pelbagai manfaat serta pengetahuan kepada para pengunjung pelbagai lapisan masyarakat.

Kebanyakan pengunjung berpendapat program tersebut memberi ruang kepada orang awam merapatkan akses kemudahan dengan perkhidmatan kerajaan dan wajar diteruskan. 

Pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ipoh Wan Fatisha Fitri Azizan, 19, berkata pengisian program berkenaan sangat bersesuaian dengan keperluan pelajar masa kini, terutama dalam memahami dasar-dasar pendidikan dan kenegaraan secara lebih mendalam.

"Menerusi program ini, kami berpeluang mendalami gagasan Malaysia MADANI secara lebih terperinci, tujuh teras utama yang menjadi tunjang agenda negara," katanya kepada Bernama ketika ditemui di sini hari ini.

Sementara itu, Nur Syafiqah Eimyhisham, 19, yang juga rakan Wan Fatisha Fitri menyifatkan inisiatif tersebut sangat inklusif kerana turut memikirkan kebajikan pelajar menerusi pemberian pelbagai bantuan serta insentif langsung.

Menurutnya, program yang disertai di bawah anjuran Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) itu membolehkan pelajar mengakses maklumat penting secara santai namun penuh dengan pengisian bermakna.

“Maklumat yang disampaikan juga sangat mudah difahami melalui sesi soal jawab dan Pocket Talk yang interaktif, malah saya berharap agar program bermanfaat seumpama ini dapat diteruskan secara konsisten pada masa akan datang," katanya.

Tukang cuci Hawariah Junid, 48, dari Malim Nawar sanggup meluangkan masa meninjau pelbagai reruai pameran serta mendapatkan barangan keperluan asas.

"Tujuan utama saya ke sini adalah untuk meninjau sendiri kemeriahan Jualan MADANI serta pelbagai pameran agensi kerajaan yang disediakan bagi menambah pengetahuan tentang inisiatif sedia ada, yang mungkin belum kami ketahui sepenuhnya.

Dalam pada itu, suaminya yang juga pengawal keselamatan Rosli Ismail, 51, berkata mereka membawa empat orang anaknya untuk menimba ilmu di tapak pameran agensi kerajaan.

“Walaupun cuaca agak panas, kami tetap hadir dengan membuat persediaan awal seperti membawa payung dan kipas tangan kerana dari sudut pembelajaran, objektif program ini memang tercapai untuk mendidik anak-anak memahami fungsi agensi dengan lebih terperinci," katanya.

Selain itu, pelajar Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) Muhammad Aiman Abd Razak, 25, menyifatkan interaksi secara langsung dengan agensi penguat kuasa membolehkannya memahami skop tugasan pasukan keselamatan dengan lebih tepat.

"Pengetahuan saya mengenai agensi kerajaan semakin bertambah apabila berpeluang bertanya secara langsung mengenai skop tugasan pihak polis yang sebenarnya mempunyai tanggungjawab amat meluas melangkaui aspek menjaga keamanan negara. 

“Saya amat berharap program seumpama ini diperbanyakkan lagi pada masa hadapan supaya lebih ramai masyarakat berpeluang memahami dan menilai dasar serta inisiatif kerajaan secara lebih dekat," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan