AM

Ahli Dewan Negara terima Jurnal Parlimen Malaysia

18/10/2021 03:53 PM

KUALA LUMPUR, 18 Okt -- Ahli-ahli Dewan Negara hari ini menerima Jurnal Parlimen Malaysia Jilid 1-2021 yang merupakan jurnal ilmiah dengan capaian terbuka dan tinjauan semula setara dua pihak, selain mengandungi 11 artikel ditulis tokoh tempatan, pakar perundangan serta Ahli Parlimen.

Parlimen Malaysia dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan jurnal berkenaan diterbitkan secara tahunan oleh Bahagian Penyelidikan dan Perpustakaan, Parlimen Malaysia.

Kenyataan itu menyatakan, objektif utama penerbitan jurnal itu adalah untuk menerbitkan kajian-kajian yang memberi fokus kepada fungsi, perundangan, amalan dan tatacara Parlimen, serta perkara berkaitan hal ehwal Ahli Parlimen.

“Bagi memastikan Jurnal Parlimen Malaysia menepati piawaian antarabangsa dan kualiti penerbitan jurnal, satu Lembaga Editorial telah ditubuhkan yang dianggotai 11 orang ahli akademik dari universiti tempatan dan antarabangsa, serta pakar-pakar dari pelbagai agensi,” menurut kenyataan itu.

Terdahulu, Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Dr Rais Yatim menyempurnakan Majlis Serahan Jurnal Parlimen Malaysia kepada Ahli Dewan Negara, di Dewan Negara di sini.

Jurnal tersebut juga boleh diakses secara dalam talian menerusi https://journalmp.parlimen.gov.my iaitu portal yang disumbangkan Parlimen kepada awam, melalui perkongsian kajian dan penulisan ilmiah berkaitan fungsi serta peranan legislatif dalam sistem demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan di Malaysia.

Kenyaatan itu menyatakan ahli akademik dan orang ramai yang berminat dialu-alukan menghantar penulisan ilmiah untuk penerbitan Jilid 2 melalui portal berkenaan, dengan tarikh tutup penghantaran pada 30 Nov ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan