JENAYAH & MAHKAMAH

Anwar Ibrahim diminta kerjasama salur maklumat isu kertas Pandora - SPRM

17/10/2021 12:11 AM

KUALA LUMPUR, 16 Okt  -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meminta Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat mengenai isu pendedahan Kertas Pandora.

SPRM dalam kenyataan hari ini memaklumkan pihaknya akan bekerjasama dengan Bank Negara Malaysia (BNM) dan agensi berkaitan bagi menjalankan siasatan berhubung isu tersebut.

"Sehubungan itu, SPRM meminta Anwar untuk memberi kerjasama sekiranya beliau mempunyai maklumat lanjut tentang isu tersebut,” menurut kenyataan itu.

Hari ini, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata pihaknya menerima empat laporan polis berhubung isu tersebut.

Kertas Pandora adalah pendedahan berkaitan dokumen sulit golongan kaya dan berpengaruh dunia yang menyembunyikan kekayaan dengan menggunakan perkhidmatan ‘offshore’ atau syarikat berpangkalan di luar negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini berkata kerajaan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam pendedahan Kertas Pandora. 

Pada Isnin lepas, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pula dilaporkan berkata BNM sedia bekerjasama dengan agensi penguat kuasa undang-undang untuk memantau dan menyiasat dokumen terkandung dalam Kertas Pandora yang membabitkan individu di negara ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan