EKONOMI

AirAsia rancang kembang platform airasia travelmall

16/10/2021 06:16 PM

ALOR SETAR, 16 Okt -- AirAsia merancang mengembangkan platform airasia travelmall dengan menambah lebih banyak kepelbagaian produk bebas cukai bagi mereka yang melancong ke Langkawi.

Ketua airasia travelmall Rose Lam berkata sejak pelancarannya pada bulan lepas sebagai menyokong gelembung perjalanan Langkawi ia mendapat sambutan baik daripada pelancong yang kagum dengan perkhidmatan itu yang disesuaikan dengan keperluan mereka.  

"Ketika ini, kami mempunyai lebih 10 peniaga dan hampir 1,000 produk tersedia bagi Langkawi, dengan kategori utama dan produk yang digemari orang ramai untuk dibeli di Langkawi seperti cokelat dan gula-gula, peralatan memasak dan minuman. 

"Kami aktif mengembangkan jumlah peniaga dan produk kami dan pelanggan boleh menantikan lebih banyak kepelbagaian produk yang tersedia di airasia travelmall," katanya menerusi e-mel kepada Bernama baru-baru ini.

Lam berkata pesanan diterima di platform tersebut bermula hari pertama pelancarannya dan semakin meningkat apabila sekatan perjalanan dilonggarkan dan lebih ramai orang berkunjung ke Langkawi.

"Kami melancarkan airasia travelmall pada September 2021 (tidak sampai sebulan lepas). Apa yang kami boleh kongsikan buat masa ini adalah banyak pesanan diterima setiap hari dengan majoriti pesanan dibuat pada hari yang sama pada sesi penghantaran yang diingini.  

"Apa yang menariknya terdapat juga banyak pra-pesanan dibuat terlebih dahulu sehingga dua minggu lebih awal, menunjukkan pelanggan telahpun mempunyai kebiasaan membuat pra-pesanan produk runcit perjalanan mereka terlebih dahulu,” katanya. 

Lam berkata airasia travelmall, yang berada di bawah aplikasi super AirAsia, tidak terhad hanya kepada penumpang penerbangan AirAsia sahaja tetapi juga tersedia kepada mereka yang menggunakan syarikat penerbangan lain.

Menurutnya, AirAsia juga merancang mengembangkan perkhidmatan itu ke seluruh dunia dengan tumpuan di Asia Tenggara dengan visi untuk memberi kemudahan kepada pengembara yang mana mereka boleh membeli belah produk bebas cukai di mana-mana sahaja di dunia ini.

"Kami menyediakan pelbagai pilihan penunaian kepada pengembara sama ada di lapangan terbang berlepas, lapangan terbang ketibaan, pintu perlepasan atau penghantaran dalam penerbangan dan ini tidak terhad kepada penumpang penerbangan AirAsia sahaja,” katanya.

Lam menjangkakan perniagaan meningkat dengan ketara sebaik sahaja pelancongan kembali seperti biasa apabila sempadan dibuka semula pada suku keempat tahun ini atau suku pertama tahun depan.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan