PENAMPANG, 14 Okt -- Semangat kebersatuan dalam kepelbagaian diamalkan sejak sekian lama penduduk Sabah yang diangkat melalui Keluarga Malaysia jelas terpapar dalam diri Ariffin Ahmad, yang memberikan perkhidmatan sanitasi mencegah COVID-19 secara percuma tanpa mengira latar belakang.
Ariffin, 43, yang juga seorang penjawat awam negeri, tekun memberikan perkhidmatan berkenaan kepada masjid, surau, rumah ibadat dan pusat komuniti rumah ibadat tanpa mengira agama dan kepercayaan kerana kepelbagaian itu menjadikan Sabah unik serta contoh kepada Keluarga Malaysia.
Bermula dengan hanya membantu sanitasi rumah seorang sahabat yang positif COVID-19 pada Jun tahun lepas memberi ilham kepada Ariffin memulakan kerja-kerja sanitasi di sekitar daerah Kota Kinabalu secara percuma.
"Tahun lepas pergerakan agak terhad tetapi bermula September tahun ini barulah mula bergerak aktif membuat sanitasi masjid dan surau sekitar daerah Kota Kinabalu, Penampang dan Putatan.
"Setakat ini hampir 30 buah masjid dan surau sudah saya berikan perkhidmatan sanitasi secara percuma tetapi rumah ibadat belum ada sebab kebanyakannya belum buka lagi dan mereka lebih kepada dalam talian," katanya kepada Bernama.
Ariffin berkata inisiatif itu diambil bagi memudahkan jemaah masjid dan surau menunaikan ibadah selain membantu usaha kerajaan mengekalkan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
Beliau yang juga Pengerusi Persatuan Jelajah Amal Arif Maju berkata usaha itu juga menyahut kempen dijalankan bahawa COVID-19 itu adalah benar dan wujud dalam komuniti.
Jelasnya, kerja-kerja sanitasi berkenaan dijalankan oleh beliau sendiri selepas waktu bekerja mahupun hujung minggu malah memperuntukkan sedikit daripada gaji bulanannya untuk membeli peralatan dan cecair pembasmi kuman.
Selain itu, beliau turut memberi sumbangan mesin sanitasi mengikut keperluan kepada beberapa surau dan sekolah agama yang telah dikenal pasti memerlukan mesin berkenaan.
Bapa kepada dua orang anak berumur 17 dan 18 tahun itu berkata beliau juga turut menawarkan perkhidmatan sanitasi di sekolah berhampiran namun perlu mendapat kebenaran daripada pihak sekolah terlebih dahulu.
Selain menjalankan kerja-kerja sanitasi, beliau juga turut bekerjasama dengan beberapa syarikat untuk membantu mangsa banjir di kampung-kampung yang terjejas akibat banjir lumpur baru-baru ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial