Oleh Massita Ahmad
SINGAPURA, 14 Okt -- Dana patuh Syariah seimbang pertama Singapura yang dilancarkan oleh Maybank Asset Management Singapore (MAMS), menyasarkan untuk mencapai potensi pembayaran dividen bulanan sebanyak 5.0 peratus setahun.
Dana yang dikenali sebagai Maybank Asian Growth and Income -- Islamic Fund, juga menyasarkan pulangan tahunan 6.0-7.0 peratus menerusi pendekatan pengurusan aset yang aktif.
Ia turut menawarkan pelabur dari segi campuran sekuriti yang unik dan merentasi saham-saham patuh Syariah Asia, sukuk global serta dana dagangan bursa emas (ETF).
“Sejajar dengan misi Maybank iaitu ‘Menginsankan Perkhidmatan Kewangan,’ kami berusaha untuk menjadi inklusif dan inovatif dari segi kewangan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif MAMS, Goh Keat Jin dalam kenyataan pada Khamis.
Beliau juga menyifatkan pelancaran dana itu sebagai lanjutan daripada usaha Maybank untuk memperluas tawaran penyelesaian pengurusan kekakayaan kepada pelabur.
“Ini termasuk memenuhi objektif pengumpulan kekayaan yang membabitkan kalangan masyarakat Islam di Singapura, Malaysia dan Indonesia.
“Dana yang kami tawarkan ini patuh Syariah dan sesuai untuk pelabur yang mahukan pulangan halal atau berhasrat mempelbagaikan portfolio mereka dalam pasaran baharu. Pada masa sama, ia juga sesuai untuk pelabur bertanggungjawab yang mahu melabur dalam aktiviti patuh Syariah,” katanya.
Dalam pada itu, MAMS berkata walaupun Singapura menyaksikan pertumbuhan dalam penyelesaian pengurusan kekayaan konvensional, ia sebaliknya ketinggalan dalam aspek penawaran penyelesaian pelaburan Islam.
Ia turut memetik tinjauan oleh Financial Alliance’s Islamic Wealth Advisory (FAiWA) yang menunjukkan lebih 80 peratus pelabur Muslim lebih mengutamakan penyelesaian pelaburan Islam sekiranya produk berkenaan ditawarkan.
Menurut MAMS, selain memberi manfaat kepada masyarakat Islam di Singapura, pelaburan yang menumpukan aspek Islam itu akan turut menampung keperluan pengurusan kekayaan pelabur yang mahu menyokong pelaburan bertanggungjawab secara sosial atau memperjuangkan aspek pelaburan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).
MAMS merupakan unit Maybank Asset Management Group Bhd (MAMG) dan dimiliki oleh Malayan Banking Bhd (Maybank) dan Permodalan Nasional Bhd (PNB).
Setakat 31 Ogos, 2021, aset di bawah pengurusan (AUM) MAMS mencecah US$8.3 bllion.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial