PUTRAJAYA, 4 Jun (Bernama) -- Pertumbuhan pesat industri penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) pesawat serta kemasukan pelaburan dalam sektor penerbangan perniagaan dijangka meningkatkan permintaan terhadap tenaga kerja mahir, dan pesara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dilihat antara calon paling sesuai untuk memenuhi keperluan berkenaan.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata Malaysia sedang menarik lebih banyak pelaburan dalam sektor itu, khususnya di Subang yang semakin berkembang sebagai hab MRO dan penerbangan perniagaan serantau.
"Apabila lebih banyak pesawat, lebih banyak MRO diperlukan dan lebih ramai juruteknik diperlukan. Kita juga sedang menarik banyak pelaburan dalam sektor jet persendirian dan penerbangan perniagaan. Banyak syarikat asing melabur di Subang dan membuka kemudahan MRO mereka di sana," katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Kerjasama Strategik antara Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Kementerian Pertahanan (MINDEF) bagi Pemerkasaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Anggota ATM, di sini hari ini.
Loke berkata Malaysia mempunyai kelebihan dari segi kos operasi yang kompetitif selain infrastruktur sedia ada yang membolehkan negara muncul sebagai pusat MRO bukan sahaja bagi pasaran domestik, tetapi juga ASEAN dan rantau yang lebih luas.
Kemasukan pelaburan baharu itu akan meningkatkan keperluan terhadap tenaga kerja berkemahiran tinggi, manakala pesara ATM memiliki pengalaman dan kemahiran teknikal yang boleh terus dimanfaatkan oleh industri.
"Yang paling cepat boleh memenuhi keperluan ini ialah pesara tentera kerana mereka sudah mempunyai set kemahiran tersebut. Mereka hanya memerlukan sedikit latihan tambahan sebelum boleh terus diserap ke dalam industri," katanya.
Beliau berkata kerjasama antara MOT dan MINDEF membuka ruang untuk memanfaatkan kemahiran anggota tentera yang bersara dalam pelbagai subsektor pengangkutan termasuk udara, laut dan darat.
Terdahulu, Loke berkata sebagai langkah awal, sebanyak 3,208 kekosongan jawatan telah dikenal pasti dalam sektor pengangkutan meliputi subsektor pelabuhan, logistik, rel, pengangkutan awam dan pengangkutan darat.
Dalam sektor logistik, beliau berkata anggota ATM yang mempunyai pengalaman mengendalikan trak dan kenderaan berat akan dibantu mendapatkan lesen Kelas E tanpa kos tambahan melalui proses penukaran lesen tentera yang dipermudahkan.
Kos mendapatkan lesen berkenaan lazimnya mencecah antara RM4,000 hingga RM5,000.
Sementara itu, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang turut hadir pada majlis itu berkata kira-kira 5,000 anggota ATM bersara setiap tahun, dengan lebih 4,000 daripadanya berusia lingkungan 39 tahun ke atas dan masih berada dalam usia produktif untuk bekerja.
Beliau berkata program peralihan yang dikendalikan Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) kini disusun semula supaya lebih memenuhi keperluan industri, sekali gus meningkatkan peluang pekerjaan kepada bakal pesara ATM.
Anggota yang menjalani tempoh peralihan sebelum persaraan masih menerima gaji kerajaan kerana tempoh berkenaan adalah sebahagian daripada perkhidmatan mereka.
Tempoh peralihan itu berlangsung selama setahun, termasuk enam bulan latihan industri, sebelum anggota terbabit diserap ke dalam syarikat yang memerlukan tenaga kerja berkemahiran.
"Sebaik mendapat pekerjaan, syarikat akan membayar gaji mereka dan pada masa sama mereka terus menerima pencen yang layak dinikmati," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial