AM

Permohonan kemasukan Sekolah Khusus dibuka mulai Ahad - KPM

07/10/2021 05:04 PM

KUALA LUMPUR, 7 Okt -- Permohonan kemasukan ke Sekolah Khusus untuk tingkatan satu dan empat bagi 2022 boleh dibuat bermula Ahad ini sehingga 15 Nov depan, demikian menurut Kementerian Pendidikan (KPM). 

Menurut kenyataan kementerian itu,  permohonan ke tingkatan satu boleh diakses melalui pautan spskt1.moe.gov.my manakala permohonan ke tingkatan empat melalui pautan spskt4.moe.gov.my.

Permohonan secara dalam talian itu melibatkan tingkatan satu dan tingkatan empat bagi Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama; tingkatan empat bagi Sekolah Menengah Teknik dan Maktab Tentera Diraja serta tahun satu untuk Kolej Vokasional.

“KPM telah memperkenalkan Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK) bagi tujuan pemilihan murid untuk kemasukan ke tingkatan satu dan tingkatan empat Sekolah Khusus mulai 2021.

"Semua pemohon boleh membuat semakan pusat pentaksiran secara dalam talian bermula 1 Dis ini," menurut kenyataan itu hari ini.

Pentaksiran bagi tingkatan satu akan bermula 17 Jan hingga 27 Jan tahun depan manakala bagi tingkatan empat bermula 7 Feb hingga 17 Feb 2022.

Komponen yang akan ditaksir ialah kecerdasan insaniah (20 peratus),  kecerdasan intelektual (70 peratus) dan artikulasi penulisan (10 peratus) 

Syarat permohonan kemasukan ke Sekolah Khusus adalah warganegara Malaysia; berdaftar dalam Sistem Aplikasi Pangkalan Data Murid Kementerian Pendidikan; murid tahun enam 2021 iaitu berumur 12 tahun atau lahir pada 2 Jan 2009 hingga 1 Jan 2010.

Bagi permohonan ke tingkatan empat, pemohon merupakan murid tingkatan tiga tahun ini iaitu berumur 15 tahun atau lahir pada 2 Jan 2006 hingga 1 Jan 2007.

Keputusan pemilihan murid akan diumumkan pada 15 Mac 2022.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan