AM

MAIS serah sumbangan RM1.9 juta kepada GTSM, Orang Asli beragama Islam

28/09/2021 06:13 PM

SHAH ALAM, 28 Sept -- Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) hari ini mengagihkan sumbangan fidyah kepada Gabungan Pertubuhan Teksi, Kereta Sewa, Limosin dan Teksi Lapangan Terbang SeMalaysia (GTSM) dan masyarakat Orang Asli yang berjumlah lebih RM1.9 Juta.

Pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata RM1.775 juta daripada jumlah itu diberikan kepada 3,550 penerima dalam kalangan ahli GTSM manakala RM135,000 disumbangkan kepada 675 keluarga masyarakat Orang Asli beragama Islam di Selangor.

“Penerima sumbangan bagi ahli GTSM menerima bantuan RM500 setiap keluarga manakala masyarakat Orang Asli Islam menerima RM200 setiap keluarga beserta pek makanan asasi seperti beras, tepung, gula dan minyak masak bernilai RM100,” katanya pada Majlis Simbolik Penyerahan Sumbangan MAIS kepada GTSM dan Orang Asli Selangor di sini hari ini.

Beliau berkata sehingga kini pihaknya telah meluluskan permohonan fidyah berjumlah RM7.56 juta dan mengagihkan sumbangan kepada 33,398 keluarga penerima dengan jumlah agihan sebanyak RM4.82 juta dari peruntukan agihan fidyah MAIS sejak program itu dilancarkan pada 28 Dis tahun lepas.

Sementara itu wakil GTSM M.D Here Yanto Holik berkata sumbangan akan diagihkan melalui akaun bank bermula esok kepada pemandu teksi yang berada dalam negeri Selangor.

"Nasib pemandu teksi sepanjang pandemik ini amat menyedihkan kerana pendapatan harian mereka tidak mencapai sasaran yang diinginkan, ada dalam kalangan mereka menerima dalam RM60 sehari, kadang-kadang sekadar cukup untuk membayar sewa sahaja," katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan