JENAYAH & MAHKAMAH

Tiga anggota polis didakwa terima rasuah RM10,000 berhubung kes dadah

28/09/2021 04:56 PM

SEREMBAN, 28 Sept -- Tiga anggota polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM10,000 bagi menukar seksyen kesalahan seorang individu berhubung kes dadah, empat tahun lepas.

Vincent Yap, 54, yang berpangkat sarjan serta Zulkifli Halim, 40, dan Mohd Khairum Yahya, 32, masing-masing berpangkat koperal, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Madihah Harullah.

Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh yang ketika itu bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Jempol, didakwa dengan niat bersama menerima wang tunai sebanyak RM10,000 daripada seorang lelaki.

Wang itu didakwa sebagai dorongan menukar seksyen kesalahan yang dilakukan individu terbabit kepada seksyen yang memperuntukkan hukuman yang lebih rendah di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.

Mereka dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah pondok polis di Jempol pada 17 Okt 2017.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan melapor diri ke pejabat SPRM negeri pada setiap bulan dan 28 Okt ini ditetapkan untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan