AM

Masjid Ismail Petra Banggol terima RM172,000 sumbangan bantu golongan terjejas COVID-19

28/09/2021 01:52 PM

KOTA BHARU, 28 Sept -- Masjid Sultan Ismail Petra Mukim Banggol, Jalan Pantai Cahaya Bulan, di sini telah menerima lebih RM172,000 derma dan sumbangan daripada pelbagai pihak sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac tahun lepas hingga kini.

Imam Tua masjid berkenaan Muhammad Ammar Azlan berkata dalam tempoh itu, pihaknya tidak putus-putus menerima sumbangan wang serta bekalan makanan daripada orang ramai termasuk badan bukan kerajaan (NGO) menerusi Tabung Kebajikan Masjid.

Beliau berkata kesemua sumbangan yang diterima pihak masjid itu adalah bagi menyalurkan bantuan kepada golongan asnaf dan komuniti yang terjejas pendapatan susulan pandemik COVID-19.

"Pada Mac tahun lepas, pihak kami mengagihkan keperluan keluarga seperti beras dan barangan yang diperlukan dengan peruntukan RM70,000, manakala sebulan kemudian, kami memilih asnaf yang layak dan terjejas pendapatan.

"Seramai 200 keluarga asnaf ditetapkan menerima keperluan seperti beras dan diberikan kupon RM30 setiap keluarga untuk membeli apa-apa keperluan mereka menjadikan kira-kira RM6,000 peruntukan disediakan sebulan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Khidmat Bakti Masyarakat Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Negeri Kelantan Bersama Komuniti Masjid Sultan Ismail Petra, Mukim Banggol di sini hari ini yang disampaikan oleh Pengarahnya, Mohd Rakbi Mat Saud.

Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) itu melibatkan pemberian 150 kampit beras di Masjid Sultan Ismail Petra Mukim Banggol, manakala 150 kampit beras lagi diserahkan kepada Masjid Panji di sini.

"Inisiatif sumbangan beras ini dimohon sejak sebulan lepas dan diagihkan pada hari ini dengan cara kami menghubungi mereka untuk mengambil bantuan di masjid dalam keadaan menjaga prosedur operasi standard (SOP), selain stok dibuat bagi mereka yang dikuarantin akibat COVID-19.

"Pemilihan bantuan kepada asnaf tersebut diberikan bergantung kepada kriteria jumlah pendapatan, bilangan tanggungan selain menjadikan keluarga penerima ini sebagai anak angkat," katanya.

Beliau turut berkata biarpun COVID-19 berakhir selepas ini, pihaknya akan tetap meneruskan bantuan keperluan asas dapur dan makanan bertujuan mengerat silaturahim bersama asnaf.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan