AM

RMK12: K'jaan negeri diminta adakan sesi pendengaran awam sebelum batal warta HSK, PFE

27/09/2021 03:02 PM

KUALA LUMPUR, 27 Sept  -- Kerajaan negeri akan diminta untuk mengadakan sesi pendengaran awam sebelum sebarang pembatalan pewartaan bagi kawasan hutan simpan kekal (HSK) dan Estet Hutan Kekal (PFE).

Menurut dokumen Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) yang dikeluarkan Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri, ia antara langkah di bawah strategi memulihara ekosistem semula jadi iaitu mempertingkatkan langkah pemuliharaan bagi kawasan terestrial dan air daratan.

"Pemuliharaan ekosistem yang berterusan adalah penting bagi memastikan habitat semula jadi dilindungi dan bersambung secara ekologi. Dalam hubungan ini, pemuliharaan kawasan terestrial, air daratan, pesisir pantai dan marin akan dipertingkat melalui perlindungan, pemulihan dan ketersambungan habitat.

"Kepentingan ekosistem akan diarusperdanakan dalam perancangan dan pembangunan sosioekonomi. Inisiatif ini akan mempertingkat daya tahan dan keupayaan ekosistem untuk menyediakan perkhidmatan ekologi secara berterusan bagi kemampanan biodiversiti dan menyokong pertumbuhan sosioekonomi, selari dengan Matlamat 14 dan 15 Agenda 2030," menurut dokumen itu.

Selain itu, pewartaan kawasan perlindungan bagi terestrial dan air daratan akan dipergiatkan melalui pewujudan pasukan petugas khas selain rangka kerja bagi kaedah-kaedah lain yang berkesan untuk pemuliharaan berlandaskan kawasan akan turut dibangunkan.

Menurut dokumen itu, usaha berkenaan adalah untuk meningkatkan pemuliharaan kawasan semula jadi termasuk geopark dan air daratan bagi mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus kawasan litupan hutan berbanding keseluruhan kawasan tanah.

Penanaman semula, pemuliharaan dan pengayaan hutan akan dipergiat melalui kerjasama dengan pelbagai pihak berkepentingan. Sektor swasta akan digalakkan untuk menyertai dengan aktif dalam program pemuliharaan hutan.

Di samping itu, ketersambungan empat kompleks hutan utama di Semenanjung Malaysia akan ditambah baik dengan mempercepat pewujudan koridor ekologi di bawah inisiatif CFS (Central Forest Spine) manakala pengurusan dan pemuliharaan kawasan berhutan di Sabah dan Sarawak akan terus dipertingkat melalui inisiatif HoB (Heart of Borneo). 

Sementara itu, di bawah strategi meningkatkan pemuliharaan sumber air, dokumen itu menyatakan Akta 127 akan dikaji semula untuk memasukkan peruntukan mengenai bahan pencemar baru muncul terutamanya bahan kimia yang terdapat dalam produk farmaseutikal, racun perosak, perindustrian dan isi rumah.

Menurut dokumen itu, kajian Jumlah Beban Harian Maksimum (TMDL) yang menentukan keupayaan bebanan segmen sungai akan diperluas untuk meliputi lebih banyak lembangan sungai.

"Kajian ini akan memberi panduan kepada kerajaan negeri dan PBT (pihak berkuasa tempatan) dalam menilai cadangan pembangunan sedia ada dan baharu di sepanjang koridor sungai.

"Sistem pemantauan pintar juga akan diwujudkan bagi membolehkan pemantauan masa nyata dan amaran awal serta memperkukuh penguatkuasaan. Denai sungai akan dibangunkan sebagai penyelesaian semula jadi untuk mencegah pencerobohan dan pencemaran sungai," menurut dokumen itu.

-- BERNAMA  

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan