JENAYAH & MAHKAMAH

Panik didakwa kononnya terlibat kes 1MDB, pesara wanita kerugian RM10,000

23/09/2021 09:45 PM

SIBU, 23 Sept -- Seorang wanita berusia 62 tahun mengalami kerugian RM10,000 apabila menjadi mangsa penipuan sindiket Macau Scam selepas terpedaya dengan dakwaan kononnya dia terlibat dengan jenayah berkaitan pengubahan wang haram 1MDB.

Dalam laporan polis yang dibuatnya hari ini pesara itu memberitahu bahawa dia menerima satu panggilan telefon dari seorang lelaki yang mengaku anggota polis berpangkat sarjan dari ibu pejabat polis di Negeri Sembilan yang memaklumkan kononnya kad banknya telah digunakan oleh individu bernama Jimmy Wong dalam kes jenayah itu.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Stanley Jonathan Ringgit berkata panggilan itu kemudian disambungkan kepada seorang individu kononnya pegawai berpangkat Inspektor yang mengatakan wanita itu perlu membuat pindahan RM10,000 kepada Jabatan Audit Negara jika ingin menyelesaikan kes berkenaan.

“Kerana panik, wanita itu pergi ke sebuah bank di Jalan Kampung Datu dekat sini sekitar 12.30 tengah hari dan membuat pindahan wang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata wanita itu memindahkan RM4,950 bagi transaksi pertama dan jumlah yang sama dalam transaksi kedua, kemudian disusuli dengan RM100 bagi transaksi ketiga ke sebuah akaun milik lelaki bernama Shamsudin Abu Hassan. 

“Wanita itu hanya menyedari dirinya ditipu selepas pulang ke rumah, sebelum membuat laporan polis,” tambahnya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan