KOTA KINABALU, 23 Sept -- Persediaan bagi menghadapi musim Monsun Timur Laut yang dijangka bermula Oktober ini hingga Mac tahun depan, memerlukan kerjasama antara Kerajaan Persekutuan serta kerajaan negeri.
Justeru, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Datuk Dr Abdul Latif Ahmad berkata perbincangan antara kedua-dua belah pihak haruslah diadakan untuk merancang persediaan dan pengurusan bencana kesan musim monsun itu.
"Ini baru permulaan, kita masih berada dalam musim Monsun Barat Daya dan kita jangkakan keadaan cuaca akan lebih buruk apabila tiba musim Monsun Timur Laut.
"Antara yang kita perlu buat adalah (meneliti) bagaimana kerajaan negeri bersedia dengan bantuan daripada Kerajaan Persekutuan. Angkatan Pertahanan Awam (APM) bersama agensi lain pula sudah bersiap sedia dari segi aset dan keanggotaan," katanya kepada pemberita selepas melawat Ibu Pejabat APM Sabah di sini hari ini.
Monsun Timur Laut membawa hujan lebat berterusan yang menyebabkan banjir besar di negeri-negeri di Malaysia terutamanya di kawasan pantai timur Semenanjung.
Mengenai lawatan dua hari di Sabah yang berakhir hari ini, Abdul Latif berkata antara tujuan lawatannya itu adalah bagi meninjau situasi banjir di Sugud, Penampang, selain mendengar taklimat daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah.
Katanya beliau akan membentangkan kepada Kabinet mengenai bencana yang berlaku di Sabah, esok.
Sementara itu, Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Noor menerusi kenyataan hari ini berkata beliau menerima kunjungan Abdul Latif di Sri Gaya di sini semalam dan mereka berbincang tentang bantuan dan peruntukan untuk pembaikan infrastruktur yang akan disalurkan oleh Kerajaan Pusat.
Hajiji turut menggesa Kerajaan Persekutuan untuk membina semula infrastruktur yang rosak dan musnah akibat banjir, selain menaik taraf sungai dan sistem saliran sedia ada.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial