EKONOMI

SME Bank lancar Program BEP untuk lahir lebih ramai pengeksport Bumiputera

23/09/2021 03:57 PM

KUALA LUMPUR, 23 Sept  -- Small Medium Enterprise Development Bank Malaysia Berhad (SME Bank) telah memilih sebanyak 29 syarikat untuk menyertai program ‘Business Exports Programme’ (BEP) bank itu dalam usaha melahirkan lebih banyak pengeksport bumiputera.

Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank Aria Putera Ismail berkata daripada jumlah itu, 18 syarikat adalah daripada sektor pembuatan manakala 11 lagi daripada sektor perkhidmatan.

“Melalui aktiviti intervensi yang berstruktur, mereka akan dibimbing dan diselia berdasarkan enam parameter iaitu pengeluaran/teknikal, kewangan, tenaga kerja, keperluan eksport, pemasaran serta standard dan peraturan.

“Keenam-enam parameter ini akan membantu usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terlibat menyediakan syarikat, produk dan perkhidmatan yang dapat memenuhi permintaan serta piawaian yang perlu untuk memasuki pasaran antarabangsa,” katanya dalam ucapan beliau pada majlis pelancaran program tersebut yang disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Tan Sri Noh Omar.

BEP adalah program yang dilaksanakan dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) sebagai rakan strategik untuk melatih dan melahirkan lebih ramai usahawan PKS pengeksport Bumiputera melalui peruntukan dana sebanyak RM30 juta oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) bagi tempoh lima tahun dari 2020-2025.

Selain itu, SME Bank juga turut memberikan latihan keusahawanan percuma yang komprehensif melalui anak syarikatnya, Centre for Entrepreneur Development and Research (CEDAR) agar PKS dapat bertahan dan cekal bersaing dalam arena perniagaan yang lebih besar dan mencabar.

Antara program misi perdagangan yang akan disertai peserta BEP dalam masa terdekat ialah Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2021 bermula 9 September hingga 31 Disember 2021; E-Biz Match bersama usahawan Uganda pada 28 September 2021; Export Acceleration Mission Bangkok di Thailand dari 18-20 Oktober 2021 dan Dubai Expo 2020 pada18-20 Februari 2022. 

Dalam perkembangan lain, Aria berkata SME Bank juga turut meneruskan program Let’s XCESS 2021 yang memberi akses kepada pembiayaan dan pembangunan PKS di enam wilayah di seluruh negara bagi memastikan seramai mungkin usahawan PKS menerima bantuan dan tidak ketinggalan dalam trend pemulihan ekonomi negara ketika ini.

“Fokus utama akan diberikan kepada usaha menyelesaikan masalah akses kepada pembiayaan yang sering kali dihadapi oleh usahawan PKS pada masa kini. Tumpuan juga akan diberikan kepada program pembangunan usahawan melalui Pusat bagi Pembangunan dan Penyelidikan Usahawan (CEDAR),” katanya.

Bagi memastikan program Let’s XCESS 2021 kali ini bersifat menyeluruh, Aria berkata SME Bank juga menampilkan syarikat besar atau anchor seperti Prowheels Distributor, Petro Teguh, Bateriku.com, Ayamas dan Chatime yang akan menawarkan peluang kepada usahawan sebagai francais atau peserta program perniagaan mereka.

Katanya, syarikat berkenaan juga akan menyertai Program Pembiayaan Umbrella SME Bank yang akan membantu usahawan mempelbagaikan perniagaan dan memberikan bimbingan bagaimana untuk memastikan perniagaan mereka kekal bersaing secara sihat dengan menggunakan prosedur operasi standard (SOP) yang lengkap.

Program jelajah Let’s XCESS 2021 secara maya ini akan diteruskan ke Wilayah Pantai Timur pada 7 Oktober, Wilayah Malaysia Timur (Sabah dan Sarawak) pada 21 Oktober, Wilayah Utara pada 11 November, Wilayah Tengah pada 23 November dan yang terakhir di Wilayah Selatan pada 9 Disember.

Usahawan PKS yang berminat untuk mendapatkan maklumat tentang pembiayaan dan khidmat nasihat perniagaan di mana-mana sesi Let’s XCESS 2021 boleh mendaftar di portal www.smebank.com.my/en/lets-xcess2021.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan