KUALA LUMPUR, 23 Sept -- Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) dan Pusat Timbang Tara Komersial Saudi (SCCA) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dalam usaha mempromosikan perkhidmatan timbang tara dan pengantaraan selain untuk memajukan industri Penyelesaian Pertikaian Alternatif (ADR) di peringkat antarabangsa.
MoU yang ditandatangani secara maya semalam antara Pengarah AIAC Tan Sri Suriyadi Halim Omar dan Ketua Pegawai Eksekutif SCCA Dr Hamed Hassan Merah akan memperkukuh kerjasama antara dua institusi antarabangsa itu serta mempromosikan penggunaan perkhidmatan ADR ke sektor perniagaan dan mengembangkan, menyokong dan membolehkan amalan ADR.
Dalam kenyataan di sini, Suriyadi berkata MoU itu akan melengkapkan usaha AIAC dalam inisiatifnya untuk mempromosikan Peraturan i-Arbitration, terutamanya dari perspektif dan penerapan prinsip Syariah untuk pengguna di Arab Saudi, Malaysia, Asia Barat serta rantau Asia Tenggara.
“Peraturan i-Arbitration AIAC adalah peraturan prosedur yang mencakupi semua aspek proses timbang tara yang patuh Syariah dan sesuai untuk timbang tara pertikaian yang timbul daripada transaksi komersial yang berdasarkan prinsip Islam.
“Peraturan itu kini disemak semula dan AIAC berharap dapat melancarkannya menjelang akhir tahun ini,” katanya.
Suriyadi berkata MoU itu juga bertujuan untuk institusi masing-masing melaksanakan sesi timbang tara dan pengantaraan. Selain itu, ia menggalakkan pertukaran cadangan mengenai penimbang tara atau pengantara, pembentukan program pendidikan dan latihan bersama serta perkongsian pengetahuan.
"Saya gembira dapat berkongsi visi AIAC untuk meletakkan Malaysia pada kedudukan yang kukuh untuk menerajui pertumbuhan timbang tara konvensional dan Islam di rantau ini dan seterusnya," tambahnya.
Sementara itu, Hamed Hasan berharap MoU berkenaan akan dapat meningkatkan kedudukan nasional SCCA dalam industri ADR dalam usahanya untuk menjadi rakan antarabangsa terbaik dengan pusat timbang tara institusi terkenal dunia seperti AIAC.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial