EKONOMI

MALAYSIA PAVILION CATAT JUALAN RM572 JUTA DI CAEXPO 2021‬

21/09/2021 05:34 PM

KUALA LUMPUR, 21 Sept  -- Jualan berpotensi bernilai RM572.01 juta telah berjaya dijana di Ekspo China-ASEAN ke-18 (CAEXPO) 2021, disertai oleh 58 syarikat Malaysia yang menawarkan pelbagai produk dan perkhidmatan buatan tempatan.

Selain itu, terdapat juga 2,574 pertanyaan perniagaan dan lebih daripada 150 mesyuarat perniagaan diatur antara peserta pameran Malaysia dengan pengimport, pengedar dan pemborong China semasa acara itu berlangsung, demikian menurut Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).

Ia berkata 39 syarikat Malaysia mengambil bahagian dalam pameran perdagangan fizikal manakala 19 syarikat lain menyertai secara maya.

“Produk dan perkhidmatan yang dipaparkan di ekspo tersebut melibatkan makanan dan minuman, kesihatan dan kesejahteraan serta gaya hidup,” kata agensi perdagangan itu dalam satu kenyataan hari ini.

MATRADE juga berkata CAEXPO 2021 terus mengukuhkan kerjasama antara agensi itu dan beberapa rakan kerjasamanya termasuk Sekretariat CAEXPO, China Construction Bank, Oversea Prominent Brands dan persatuan atau dewan perniagaan tempatan dalam mengatur mesyuarat perniagaan semasa acara itu.

“Untuk meningkatkan penglibatan Malaysia dengan memanfaatkan platform digital, MATRADE memperkenalkan sesi penstriman secara langsung di Pavilion Malaysia buat pertama kali,” katanya sambil menambah sesi itu berjaya menarik lebih daripada dua juta penonton.

China telah menjadi rakan perdagangan terbesar kepada Malaysia bagi tahun ke-12 berturut-turut sejak 2009 dan menyumbang 18.6 peratus daripada jumlah perdagangan Malaysia pada 2020.

 Perdagangan dengan China pada 2020 bernilai RM331.44 bilion, dengan kadar pertumbuhan 4.7 peratus, manakala jumlah eksport RM159.22 bilion dan import berjumlah RM172.22 bilion.

“Bagi tempoh tujuh bulan pertama 2021, perdagangan Malaysia dengan China berkembang 29.8 peratus kepada RM233.40 bilion berbanding tempoh yang sama pada 2020.  

“Eksport meningkat 21.2 peratus kepada RM103.22 bilion manakala import dari China naik 37.6 peratus kepada RM130.18 bilion,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan