AM

UTeM rangkul anugerah pengurusan tenaga ASEAN 2021

21/09/2021 10:27 AM

MELAKA, 17 Sept -- Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) berjaya merangkul anugerah bagi kategori Pengurusan Tenaga (Pengurusan Tenaga Dalam Bangunan Besar) di Anugerah Tenaga ASEAN (AEA) 2021 yang dianjurkan Pusat Tenaga ASEAN, baru-baru ini.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UTeM yang menjalankan fungsi sebagai Naib Canselor Prof Ir Dr Ghazali Omar berkata anugerah berkenaan diumumkan pada Persidangan kali ke-39 Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga ASEAN (AMEM) yang dianjurkan Brunei dan diadakan secara maya pada 15 Sept lepas (Rabu).

Beliau berkata AEA merupakan anugerah tertinggi di peringkat Asia Tenggara bertujuan mendorong dan mengiktiraf penyertaan serta minat sektor awam dan swasta dalam pembangunan tenaga di rantau ini.

"UTeM telah membawa satu anjakan baharu yang lebih komprehensif dan unik bagi kelestarian pengurusan tenaga untuk bangunan besar di kampus universiti.

"Faktor itu mendorong pada pengurangan penggunaan tenaga secara konsisten, di samping pelaksanaan program efektif lain yang dijayakan bersama seluruh warga UTeM, merangkumi semua staf dan pelajar dengan slogan ‘Bangkit Bersama, Cekap Tenaga'," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. 

Sementara itu, Penolong Naib Canselor (Pembangunan dan Pengurusan Fasiliti) UTeM Prof Madya Ts Mohd Rahimi Yusoff berkata kejayaan UTeM di peringkat Asia Tenggara itu membawa impak besar buat universiti itu dan negara.

Beliau berkata susulan kejayaan itu, UTeM kini menjadi sumber rujukan kepada institusi dan organisasi lain untuk bekerjasama dalam menjayakan program kelestarian pengurusan tenaga.

Katanya situasi itu memberikan kelebihan kepada Malaysia dalam mempromosi program pengurusan tenaga lestari di peringkat antarabangsa, serta menjadi sumber rujukan di rantau Asia Tenggara.

"UTeM kini turut memfokuskan ke arah menjadi institusi yang cemerlang dalam penyelidikan dan amalan berkaitan Pengurusan Permintaan Sampingan (DSM) dan mencapai Tujuh Matlamat Strategik UTeM (SSG) dalam tempoh lima tahun akan datang.

"Antara pencapaian yang menjadi sasaran UTeM ialah menjadi antara 50 universiti terbaik di dunia dalam ranking UI Green Matrix," katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan