JENAYAH & MAHKAMAH

Polis lupus barang kes sejak 2016 hingga Jun 2021 bernilai RM600,000

15/09/2021 11:02 PM

KUALA LUMPUR, 15 Sept -- Pelbagai barang rampasan antaranya peralatan perjudian dan cakera padat digital (DVD) cetak rompak dianggarkan bernilai RM600,000 sejak 2016 hingga Jun 2021 telah dilupuskan hari ini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Noor Dellhan Yahaya berkata kesemua barang yang dilupuskan di Stor Barang Kes Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi itu melibatkan kes perjudian, pelacuran dan penjualan DVD cetak rompak.

Beliau berkata sebanyak 173 serbuan telah dilakukan dalam tempoh tersebut yang terdiri daripada kes jenayah dan jenayah komersial.

“(Bagi) kes jenayah komersial, sebanyak 19,000 keping DVD cetak rompak telah dirampas dan 24 kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 5 (2) dan Seksyen 18 (5) Akta Penapisan Filem 1952 serta permohonan pelupusan barang kes dibuat di hadapan Majistret Mahkamah Jalan Duta, di sini, pada 12 Ogos lepas.

“Kes jenayah pula, sebanyak 1,353 peralatan perjudian, 19 peralatan pelacuran, wang tunai berjumlah RM208,437 dirampas serta 1,203 barang curi dijumpai semula melibatkan 149 kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 4A (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 373B serta Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Noor Dellhan berkata permohonan bagi pelupusan barang kes jenayah itu dibuat di hadapan Majistret Mahkamah Jalan Duta pada 10 Sept lepas.

Sehubungan itu, beliau memohon kerjasama daripada masyarakat bagi menyalurkan sebarang maklumat berkenaan aktiviti perjudian, pelacuran dan DVD cetak rompak di sekitar daerah Dang Wangi.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi IPD Dang Wangi di talian 03-26002222 atau hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan