EKONOMI

OpenSys, Peoplender bekerjasama tawar pembiayaan kepada PKS untuk guna pakai tenaga solar

15/09/2021 09:23 AM

KUALA LUMPUR, 14 Sept -- Anak syarikat OpenSys (M) Bhd, OpenSys Technologies Sdn Bhd bekerjasama dengan Peoplender Sdn Bhd, pengendali pasaran platform pembiayaan rakan setara  (P2P), Fundaztic, untuk membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mengamalkan penggunaan tenaga hijau melalui pelaburan solar.

OpenSys berkata Fundaztic akan menjadi pembiaya P2P pertama di platform buySolar OpenSys Technologies, yang menawarkan pembiayaan berjumlah RM5 juta kepada PKS yang berminat, katanya dalam satu kenyataan bersama hari ini.

buySolar adalah pasaran dalam talian sehenti yang menawarkan perkhidmatan pemasangan solar menyeluruh daripada aplikasi dalam talian, anggaran kos, pembiayaan sehinggalah kepada perkhidmatan selepas jualan.

Syarikat itu berkata pembiayaan akan disediakan untuk membiayai pembelian sistem solar yang berharga sehingga RM200,000 kepada setiap PKS.

Pembiayaan akan meliputi kos sistem, kos pemeteran tenaga bersih, pemasangan, dan kos profesional / pemasangan lain yang berkaitan.

Fundaztic akan mengumpulkan dana untuk pembiayaan berjangka tanpa cagaran sehingga 90 peratus daripada jumlah sebut harga akhir menggunakan platform P2P dalam taliannya.

Pelanggan buySolar yang berjaya kemudiannya akan membuat pembayaran bulanan dengan faedah kepada pelabur yang mengambil bahagian melalui Fundaztic sehingga akhir tempoh pembiayaan mereka.

"Kami melihat sambutan menggalakkan daripada peniagaan untuk memasang sistem fotovoltaik solar atas bumbung yang banyak memberi faedah seperti penjimatan kos, pulangan pelaburan yang lebih besar, dan kelestarian.

"Menerusi kerjasama buySolar dengan Fundaztic di platform kami, kami akan dapat menawarkan pelbagai pilihan pembiayaan yang dapat disesuaikan dengan keperluan dan bajet PKS yang berbeza," kata Ketua Pegawai Operasi OpenSys Technologies Luke Sebastian dalam kenyataan tersebut.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan