PUTRAJAYA, 14 Sept -- Pemain industri pertanian Malaysia berpeluang mengikuti perkongsian amalan teknologi pertanian terbaik oleh syarikat pertanian terkemuka dunia secara maya melalui program Virtual Agrotechnology Extension (VAE) 2021 yang dilancarkan hari ini.
Program dua hari anjuran Jabatan Pertanian yang telah menarik hampir 3,000 peserta itu, diisi dengan sesi webinar dan taklimat pemain industri luar negara selain membolehkan peserta melawat reruai digital dan mendapatkan hasil segar pertanian dan produk industri asas tani secara dalam talian.
Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata program VAE 2021 itu menggalakkan penglibatan pihak industri di bawah subsektor tanaman untuk membuka peluang perniagaan secara kontrak ladang melalui aktiviti pemadanan perniagaan dengan pengeluar hasil pertanian untuk pasaran domestik dan eksport.
"VAE 2021 dapat membantu kementerian memperluas dan memperkasakan pemasaran hasilan pertanian melalui platform e-dagang untuk mempertingkatkan kebolehpasaran dan kebolehdapatan hasilan pertanian bagi pasaran domestik dan antarabangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, Jabatan Pertanian menganjurkan program penemusuaan sejak 2018 dengan meraih nilai kontrak produk pertanian melebihi RM10 juta dan VAE 2021 merupakan program baharu diperkenal dalam konteks pengembangan teknologi pertanian terkini.
VAE 2021 juga akan bersiaran selama 30 hari dengan pameran digital yang boleh diakses menerusi www.vae2021.com atau di semua platform media sosial Jabatan Pertanian seperti Facebook, Twitter, Instagram dan Youtube TV Pertanian bagi membolehkan lebih ramai pengguna mendapat manfaat.
Ia juga melibatkan kerjasama strategik bersama pihak swasta termasuk penyertaan syarikat luar negara dari Belanda, Australia, Korea Selatan dan Afrika Selatan bagi berkongsi kepakaran teknologi pertanian terkini melalui beberapa pembentangan khas antaranya Climate Control Farming Technology dan Integrated Pest Management in Biological Control dan Incubator Technology and Water Treatment Technology.
Ronald berkata sumbangan sektor agromakanan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat dengan kadar pertumbuhan 6.8 peratus kepada RM51.3 bilion pada 2020 berbanding RM28.3 bilion pada 2011 dengan subsektor tanaman masih kekal sebagai penyumbang utama iaitu RM24.1 bilion berbanding subsektor lain di bawah sektor agromakanan.
Beliau berkata produktiviti dan hasil pertanian akan dapat ditingkatkan melalui penggunaan teknologi pertanian pintar seperti pertanian persis, Internet Benda, data raya, kecerdasan buatan, blok rantai dan dron bagi aktiviti pemetaan, taburan benih, semburan racun dan baja.
“Penggunaan teknologi dapat menyumbang kepada peningkatan kualiti serta kuantiti hasil tanaman seterusnya dapat meningkatkan produktiviti secara keseluruhan,” katanya.
Tumpuan juga akan diberikan kepada peningkatan kompetensi teknikal pegawai pengembangan agar mampu melaksanakan pemindahan teknologi kepada pengeluar makanan serta menyediakan persekitaran yang kondusif untuk penerimagunaan teknologi oleh golongan sasar.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial