KUALA LUMPUR, 13 Sept -- Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC) dan Penjana Kapital Sdn Bhd telah bekerjasama membuka peluang pelaburan bagi syarikat pemula niaga yang inovatif, yang akan membantu mereka untuk tumbuh dan berkembang di rantau ini dan seluruh dunia.
“Dalam merapatkan jurang pendanaan yang dihadapi oleh syarikat pemula niaga, MaGIC akan membimbing alumninya, khususnya syarikat pemula niaga di peringkat awal, untuk mendapatkan modal teroka di bawah program Dana Penjana Nasional (DPN),” kata MaGIC dalam satu kenyataan hari ini.
“Bagi peringkat permulaan, modal teroka tersebut termasuk Tenggara Capital Partners-IMO Ventures dan The Hive SouthEast Asia-Tuas Capital Partners.”
DPN adalah program pemadanan dana-kepada-dana yang diuruskan oleh Penjana Kapital.
“Program ini, yang merupakan sebahagian daripada Pelan Pemulihan Ekonomi Negara Jangka Pendek menyasar untuk merapatkan jurang pendanaan di negara ini dengan memberi insentif kepada modal swasta membantu pertumbuhan syarikat pemula niaga dan mencipta persekitaran yang membolehkan syarikat pemula niaga ini meningkat dan meluaskan capaian mereka ke peringkat antarabangsa,” katanya.
Menurut MaGIC, kerajaan akan memadankan RM600 juta, berdasarkan nisbah 1:1, dana yang dikumpulkan oleh pengurus dana modal teroka daripada pelabur swasta asing dan domestik, dengan peruntukan sasaran sebanyak RM1.2 bilion.
“Untuk jumlah penutupan pertamanya pada akhir Mei 2021, Penjana Kapital telah mengumpul RM850 juta, dengan lebih separuh adalah daripada pelabur di Hong Kong, Korea Selatan dan Singapura. Kejayaan ini bermakna program ini berada di landasan untuk mencapai sasaran sebanyak RM1.2 bilion,” katanya.
MaGIC adalah sebuah agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) yang melahirkan dan memperkasakan syarikat pemula niaga teknologi dan pencipta inovasi sosial, menerusi kreativiti, inovasi dan penerapan teknologi selain membangunkan ekosistem keusahawanan yang bersemangat tinggi dan mampan di Malaysia.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial