BERITA COVID–19   Penularan COVID-19 negara terus catat trend penurunan - KP Kesihatan | COVID: Jumlah kes baharu di Sarawak bawah 1,000 untuk tiga hari berturut-turut | PKPD di Pos Betau, Pahang mulai rabu ini - MKN | Kerajaan wajar tambah jumlah bantuan khas COVID - senator | COVID: 5,434 kes hari ini, kes harian kekal trend penurunan - KP Kesihatan | 
EKONOMI

MIDA meterai MoU dengan Citi untuk kemudahan kewangan kepada pelabur asing

08/09/2021 06:02 PM

KUALA LUMPUR, 8 Sept -- Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Citibank Bhd (Citi Malaysia) menandatangani memorandum persefahaman (MOU) untuk menjalin kerjasama meluaskan platform kewangan dan penyediaan perkhidmatan perbankan menyeluruh oleh Citi Malaysia kepada pelabur baharu dan pelabur asing sedia ada di Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif MIDA Arham Abdul Rahman berkata kerjasama itu adalah untuk merangsang persekitaran perniagaan yang aktif dalam fasa pemulihan ekonomi ketika ini.

Beliau berkata selari dengan perubahan landskap perniagaan global, Malaysia mengambil inisiatif berani dan berimpak untuk menggalakkan pelabur sedia ada serta pelabur baharu dan pemain industri untuk membuat pelaburan baharu di Malaysia.

“MOU dengan Citi Malaysia menandakan komitmen berterusan MIDA dalam mendapatkan projek berteknologi tinggi dan tokokan nilai tinggi mengikut kerangka Aspirasi Pelaburan Nasional dan matlamat Rancangan Malaysia kedua belas (RMKe-12) bagi memacukan lagi pertumbuhan ekonomi,” kata Arham dalam satu kenyataan hari ini.

Kerjasama itu juga akan meningkatkan usaha berterusan kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan utama di rantau ini, tambahnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Citi Malaysia, Usman Ahmed berkata walaupun berdepan cabaran yang disebabkan oleh pandemik COVID-19, bank itu menyaksikan pertumbuhan aliran masuk yang ketara di koridor pelaburan utama ketika Malaysia terus unggul sebagai destinasi pelaburan yang penting dan kompetitif.

“Anak syarikat global dan perniagaan perbankan komersial kami menerajui usaha dalam memudahkan aliran ini dan kerjasama dengan MIDA ini akan membantu kedua-dua organisasi untuk saling melengkapi usaha masing-masing,” katanya.

-- BERNAMA

 


Bernama menyediakan sumber terkini maklumat berita sahih dan komprehensif kepada umum dan agensi media. Berita kami dipaparkan di laman web www.bernama.com ; siaran BERNAMA TV: Saluran Astro 502, Saluran unifi TV 631, Saluran MYTV 121 IFLIX; dan siaran Bernama Radio di frekuensi FM93.9 bagi Lembah Klang, Johor (FM107.5), Kota Kinabalu (FM107.9) and Kuching (FM100.9).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2021 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan