KUALA LUMPUR, 20 Ogos -- Mangsa banjir yang ditempatkan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Perak meningkat petang ini manakala jumlah mangsa di Kedah berkurangan, sementara PPS di Pulau Pinang tutup sepenuhnya.
Di Perak, jumlah penduduk yang terjejas banjir hingga terpaksa ditempatkan di PPS negeri itu meningkat kepada 99 orang petang ini berbanding 95 orang pagi tadi melibatkan tiga daerah.
Menurut Jurucakap Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Perak, terdapat pertambahan empat mangsa di Teluk Intan menjadikan 11 mangsa berada di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Smart Batu 8, Jalan Changkat Jong.
“Di Taiping pula jumlah masih sama seperti pagi tadi iaitu 88 orang melibatkan 28 keluarga kini berada di PPS Sekolah Kebangsaan Matang berikutan banjir di empat kawasan Kampung Sungai Rentaka, Matang; Kampung Changkat Baru, Kampung Jebong Kiri dan Kampung Malawati," katanya.
Sementara itu, sebuah lagi PPS dibuka di negeri ini iaitu di daerah Kerian di Sekolah Kebangsaan Changkat Lobak pada 3.30 petang tadi berikutan keadaan air banjir yang semakin menaik di kawasan Kampung Matang Tengah dan jumlah mangsa sedang dikenal pasti.
Di Kedah, tiga PPS di daerah Bandar Baharu yang menempatkan 39 mangsa dari tujuh keluarga sejak Rabu lepas, ditutup secara berperingkat bermula 10.30 pagi hingga 2 petang tadi.
Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah berkata, semua mangsa yang ditempatkan di PPS Sekolah (SK) Sungai Salleh, PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lubuk Buntar dan PPS SK Selama itu dibenarkan pulang selepas paras air di kediaman masing-masing mulai surut pagi tadi.
Sementara itu, di Yan dua PPS masih aktif iaitu di SMK Agama Yan yang menempatkan dua orang daripada satu keluarga dan PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Teroi dibuka untuk menempatkan mangsa positif COVID-19.
Bagaimanapun, PPS SK Teroi belum menerima kemasukan penduduk terjejas setakat ini walaupun terdapat laporan menyatakan mangsa banjir yang terdiri daripada pesakit COVID-19 dan penduduk menjalani kuarantin di rumah telah dipindahkan ke PPS itu.
Di Pulau Pinang pula, PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Jawi ditutup selepas lapan keluarga terakhir yang ditempatkan di situ pulang ke rumah masing-masing menjelang tengah hari tadi.
Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar dan Kebajikan Pulau Pinang Phee Boon Poh berkata semua 24 mangsa banjir daripada lapan keluarga yang ditempatkan di situ sejak malam Rabu mula pulang ke rumah mereka bermula 12 tengah hari ini.
“Pihak berkuasa mengambil keputusan menutup PPS SK Jawi selepas semua mangsa banjir pulang ke rumah masing-masing namun kami masih membuat pemantaun di kawasan perumahan mereka bagi memastikan semuanya selamat dan dalam keadaan baik,” katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Nibong Tebal Datuk Dr Mansor Othman berkata banjir di kawasan itu disebabkan hujan lebat dan air laut pasang malah ia diburukkan lagi dengan air dari sungai bermula di hulu Kedah sehingga menyebabkan puluhan buah rumah di Sungai Duri, Kampung Sethu dan Sungai Kecik dinaiki air.
“Kawasan yang terjejas adalah kawasan yang selalu mengalami banjir kilat jika hujan lebat dan bertembung dengan air pasang, pejabat saya mengambil tindakan segera dengan membuat pemantauan bagi memastikan penduduk selamat dan memberikan bantuan makanan yang telah siap dimasak kepada mangsa banjir,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial