AM

Bantuan khas zakat RM1,000 untuk mangsa kebakaran di Sabah

31/07/2021 06:49 PM

TAWAU, 31 Julai -- Seramai 385 ketua keluarga yang terjejas akibat bencana kebakaran sekitar Sabah menerima bantuan khas wang tunai RM1,000 daripada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Sabah (JHEAINS) yang disalurkan melalui tabung zakat.

Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah Datuk Mohd Arifin Mohd Arif berkata bantuan itu diberikan bahagian zakat setelah mendapat maklumat serta laporan yang lengkap berkaitan mangsa kebakaran daripada pihak berkuasa tempatan.

"Bantuan kepada keluarga mangsa kebakaran ini bagi meringankan bebanan yang ditanggung mereka," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan bantuan kepada mangsa kebakaran di Batu 15 Jalan Apas di sini hari ini.

Menurut Mohd Arifin  bantuan yang disalurkan itu membabitkan mangsa kebakaran di Kampung Tanjung Aru di Kota Kinabalu, Kampung Meruntum (Putatan), Kampung Panji (Semporna),  Kampung Titingan dan Batu 15 Jalan Apas (Tawau).

"Dana bantuan berkenaan adalah hasil kutipan zakat daripada individu, agensi dan syarikat di negeri ini dan kutipan ini akan dikembalikan kepada mereka yang betul-betul memerlukan," katanya.

Mohd Arifin berkata selain itu, Agensi Agama Islam Sabah juga menjalankan pengagihan bakul makanan sejak Perintah Kawalan Pergerakan  (PKP) dilaksanakan di negeri ini.

Terdahulu Pembantu Menteri Kewangan Sabah Datuk Nizam Abu Bakar Titingan yang mengiringi Mohd Arifin turut memberi sumbangan peribadi kepada mangsa kebakaran kawasan penempatan Batu 15 Jalan Apas.

Semalam, 21 mangsa kebakaran membabitkan lima keluarga tinggal sehelai sepinggang selepas empat rumah didiami musnah dalam kebakaran pada 4.40 petang di kawasan penempatan tersebut.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan