AM

Berita Ringkas Bernama: 30 Julai

31/07/2021 01:17 AM

ARMADA BERSATU TEGUH BERSAMA PERDANA MENTERI

 

KUALA LUMPUR -- Armada Bersatu Malaysia berdiri teguh bersama Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin serta menyokong keputusan-keputusan yang ditetapkan oleh kabinet termasuk pendirian kerajaan untuk membatalkan Ordinan-Ordinan Darurat.

Ketua Armada Nasional Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata sokongan lebih 110 ahli Parlimen kepada kerajaan hari ini menjamin kestabilan dalam usaha memerangi pandemik COVID-19, menyelesaikan ekonomi negara dan menjayakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan serta perlaksanaan Pelan Pemulihan Negara.

"Armada Bersatu Malaysia ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada ahli-ahli Parlimen daripada gabungan Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Parti Bersatu Sabah (PBS) dan empat ahli Parlimen Bebas yang menzahirkan sokongan kepada Perdana Menteri," katanya dalam kenyataan hari ini.

-- BERNAMA

 

 

PPV INDUSTRI SEKTOR PENGANGKUTAN PELABUHAN P.PINANG OPERASI 3 OGOS 

 

GEORGE TOWN -- Pusat pemberian vaksin (PPV) Industri Sektor Pengangkutan bagi Pelabuhan Pulau Pinang akan memulakan operasi bermula 3 Ogos ini di Terminal Swettenham Pier Cruise.

Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP), Datuk Tan Teik Cheng berkata seramai 5,434 orang penerima vaksin yang terdiri pekerja SPPP, Penang Port Sdn Bhd, pelaut, pekerja sektor logistik dan juga komuniti lain yang bekerja di pelabuhan akan menerima suntikan vaksin mereka. 

“Sebanyak 200 dos akan diberikan setiap hari dan ia akan mengambil masa kira-kira 27 hari untuk dos pertama selesai. Proses pemberian dos kedua akan dimulakan sebaik sahaja kesemua penerima yang terlibat telah selesai dos pertama," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

-- BERNAMA 

 

 

PELAJAR POLITEKNIK, KOLEJ KOMUNITI DIPELAWA SERTAI POLYCCTUBE

 

KUALA LUMPUR -- Pelajar Politeknik dan Kolej Komuniti di seluruh negara dipelawa menyertai pertandingan POLYCCTube iaitu pertandingan menghasilkan video kreatif YouTube yang berlangsung sejak 27 Julai lalu hingga 31 Ogos depan.

Pengarah Program Hazlina Harumaini berkata program itu bertujuan membentuk semangat patriotisme dan kecintaan kepada negara, memahami aspirasi nasional dan menyemai semangat perpaduan antara pelbagai kaum.

Katanya pertandingan bertemakan Malaysia 2021 – #tellthemaboutus itu juga mendapat penyertaan dari institusi pengajian tinggi luar negara sekali gus menjadikannya bersifat antarabangsa.

“Setakat ini kami telah menerima pendaftaran penyertaan daripada tiga institusi pengajian tinggi luar negara.  Wabak COVID-19 yang melanda dunia tidak mematahkan semangat para pelajar untuk terus bertahan dan mencuba sesuatu yang baharu berlandaskan norma kehidupan kini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan