AM

Parlimen: Kementerian Wilayah Persekutuan diminta pertimbang buka sektor kapal di Labuan

28/07/2021 02:04 PM

KUALA LUMPUR, 28 Julai -- Kementerian Wilayah Persekutuan diminta untuk mempertimbangkan pembukaan sektor ekonomi terutamanya sektor perkapalan di Wilayah Persekutuan Labuan kerana wilayah itu telah mencapai imuniti kelompok bagi membendung penularan COVID-19.

Ahli Parlimen Kota Kinabalu Chan Foong Hin berkata sektor perkapalan adalah sektor yang penting untuk membekalkan barang-barang keperluan kepada masyarakat.

“Labuan telah mencapai imuniti kelompok tetapi sektor perkapalan di sana masih ditutup, menyebabkan kapal-kapal asing tidak dapat masuk.

“Saya meminta Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa untuk mempertimbangkan semula keputusan ini dan membuka sektor ekonomi seperti apa yang disarankan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN),” katanya dalam sidang media di bangunan Parlimen hari ini.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Santhara Kumar Ramanaidu baru-baru ini berkata keputusan untuk menangguhkan kemasukan semua kapal asing ke Pelabuhan Labuan kekal.

Menurutnya, Mesyuarat Pusat Penyelarasan dan Pengurusan COVID-19 Wilayah Persekutuan yang dipengerusikan Annuar pada 23 Julai memutuskan untuk mengekalkan keputusan yang dibuat jawatankuasa itu pada 16 Jun untuk menangguhkan permohonan bagi semua aktiviti kapal dagangan asing sehingga peralihan Wilayah Persekutuan Labuan daripada Fasa Satu ke Fasa Dua PPN.

Beliau berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil kira situasi pandemik COVID-19 di Labuan masih dalam fasa pemulihan dan dengan wilayah persekutuan itu sedang menunggu untuk beralih ke Fasa Dua PPN.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan