KUALA LUMPUR, Julai 21 -- Kerajaan telah memulakan kajian semula pentadbiran duti anti-lambakan ke atas pengimportan gegulung keluli yang dipracat, dicat atau disalut warna yang berasal atau dieksport dari China dan Vietnam.
Menurut Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), kutipan duti anti-lambakan ini akan dikuatkuasakan oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia selama lima tahun mulai 20 Julai 2021 hingga 19 Julai 2026.
Duti untuk produk oleh semua pengeluar dari China adalah 52.10 peratus, manakala duti untuk produk keluaran Vietnam dari Maruichi Sun Steel Joint Stock Company (12.06 peratus), NS Bluescope Vietnam Limited (34.85 peratus), Nam Kim Steel Joint Stock Company (0.06 peratus) dan lain-lain (34.85 peratus).
MITI berkata kerajaan telah menyempurnakan kajian semula pentadbiran tersebut selaras dengan Akta Duti Timbal Balas dan Anti-Lambakan 1993 dan Peraturan-Peraturan Duti Timbal Balas dan Anti-Lambakan 1994.
Kajian semula pentadbiran duti anti-lambakan ke atas pengimportan gegelung keluli tersebut telah dimulakan pada 22 Januari 2021.
“Penyiasatan tersebut dijalankan berdasarkan petisyen yang dikemukakan oleh CSC Steel Sdn Bhd, bagi pihak industri tempatan,” katanya.
Menurut MITI, kajian semula pentadbiran dijalankan bagi menentukan sama ada terdapat keperluan melanjutkan tempoh pengenaan duti anti-lambakan bagi mengimbangi lambakan subjek dagangan serta menghalang kemudaratan yang berterusan sekiranya pengenaan duti ini dihentikan atau diubah berdasarkan subseksyen 28(8) Akta Duti Timbal Balas dan Anti-Lambakan 1993.
Permohonan boleh dihantar kepada Pengarah, Seksyen Amalan Perdagangan, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Aras 9, Menara MITI No. 7, Jalan Sultan Haji Ahmad Shah 50480 Kuala Lumpur, Malaysia.
Maklumat lanjut boleh diperoleh dengan menghubungi MITI di talian 03-62084634/4640 atau email kepada alltps@miti.gov.my.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial