AM

Dr Mahathir ingatkan dunia untuk terus sokong perjuangan rakyat Palestin

18/07/2021 03:11 PM

KUALA LUMPUR, 18 Julai -- Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengingatkan masyarakat dunia untuk terus menyokong rakyat Palestin dan mengutuk sekeras-kerasnya rejim Israel atas kejahatan yang dilakukannya di bumi Palestin.

Beliau berkata rakyat Palestin telah menderita selama 73 tahun dan sebagai insan, masyarakat dunia bertanggungjawab untuk bersuara dan mengecam kekejaman serta kejahatan tidak berperikemanusiaan yang dilakukan oleh Israel yang mempunyai kekebalan.

“Dengan semakin ramai berani mengutuk rejim yang agresif dan berperang itu, dan melihat kepada masyarakat dunia yang semakin ramai menentang penempatan haram di Palestin, mungkin masih ada harapan untuk menamatkan rejim apartheid Israel ini, semasa hayat kita.

“(Isu) Palestin banyak mendedahkan aspek buruk tentang demokrasi Barat dan dakyah mereka tentang dunia yang bebas, sikap hipokrit, pilih kasih dan diplomasi yang mementingkan diri sendiri. Kita tidak boleh berdiam diri dan biarkan ia berterusan. Kita mesti terus aktif menyokong pergerakan ‘Justice for Palestine’ (Keadilan untuk Palestin). Ia adalah hak rakyat Palestin untuk kembali ke tanah air mereka,” katanya dalam majlis perasmian ‘Justice For Palestine Action Front’ (Gerakan Bertindak Keadilan Untuk Palestin) (JPAF) menerusi Facebook live hari ini.

Gerakan itu adalah inisiatif beberapa individu yang kebanyakannya terdiri daripada ahli akademik, yang mahukan menyaksikan masa depan lebih baik untuk rakyat Palestin, terutamanya golongan belia dan kanak-kanak.

Gerakan itu mendapat sokongan persatuan-persatuan awam dan individu-individu di Malaysia serta luar negara.

Dalam ucapannya Dr Mahathir mengucapkan tahniah kepada JPAF kerana mengambil inisiatif untuk menjadi satu lagi suara menyokong rakyat Palestin yang berhak memperoleh keadilan seperti orang lain.

Dr Mahathir berkata dalam usaha merungkai isu rakyat Palestin yang rumit dan menentukan penyelesaian terbaik serta mengembangkan strategi yang baik, JPAF perlu segera melaksanakan kerja-kerja penyelidikan kerana fakta dan data adalah kaedah paling efektif bagi menangani penyebaran maklumat tidak tepat dan palsu.

“Saya diberitahu sebuah Kerusi Keadilan Untuk Palestin akan diwujudkan di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) tidak lama lagi bagi menyokong usaha JPAF.

"Ia harus mewujudkan kemudahan penyelidikan yang ada di universiti untuk JPAF menjalankan kerjanya. Perasmian hari ini menandakan bermulanya penyertaan secara nasional dan antarabangsa dalam usaha murni ini. Ia bukan semata-mata usaha rakyat Malaysia. Ia adalah inisiatif demi kemanusiaan. Suatu usaha untuk membetulkan apa yang salah, menyeru ke arah keadilan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan