EKONOMI

Dua firma penyelidikan naikkan penilaian harga saham Haily Group

07/07/2021 02:52 PM

KUALA LUMPUR, 7 Julai -- Dua firma penyelidikan telah menaikkan penilaian harga saham Haily Group Bhd yang bakal disenaraikan di Pasaran ACE tidak lama lagi, iaitu lebih tinggi daripada harga tawaran awam awal (IPO) pada 68 sen berikutan rekod prestasi mantap syarikat dalam sektor pembinaan.

TA Securities Holdings Bhd melihat nilai saksama syarikat itu pada 83 sen sementara RHB Investment Bank Bhd menetapkannya pada 76 sen sesaham.

Haily, kontraktor bangunan berpengalaman luas yang berpusat di Johor itu terlibat dalam pembinaan bangunan kediaman dan bukan kediaman serta penyediaan sewa mesin jentera pembinaan.

"Kami yakin dengan prospek masa depan Haily kerana kumpulan ini disokong oleh perolehan kontrak yang belum dibil bernilai RM249.6 juta setakat 10 Jun 2021, iaitu kira-kira 1.5 kali pendapatan tahun kewangan 2020.

"Nilai perolehan kontrak yang belum dibil itu terdiri daripada 18 projek pembangunan kediaman dan bukan kediaman dan dua projek kejuruteraan awam. Ini akan memberikan pendapatan yang boleh dilihat kepada kumpulan itu untuk tempoh dua tahun akan datang," kata TA Securities dalam catatannya hari ini.

Kumpulan ini telah menyiapkan 65 projek pembinaan bangunan dengan nilai kontrak RM1.3 bilion sejak tahun 2008. Ia juga telah membina rangkaian pelanggan yang mempunyai reputasi baik, antaranya termasuk Mah Sing Group, IOI Group, dan AME Consortium.

"Kami menjangkakan kumpulan itu mampu mencatatkan pertumbuhan pendapatan yang lumayan pada tahun kewangan 2022 dan 2023 kerana kami percaya semua kegiatan ekonomi di Malaysia akan beroperasi sepenuhnya tahun depan, didorong oleh usaha aktif kerajaan mempercepatkan program vaksinasi di seluruh negara.

"Pasaran Johor diunjur terus menjadi penjana pendapatan utama bagi kumpulan itu," kata TA Securities.

Sementara itu, Haily Group berhasrat mengumpulkan RM20.4 juta daripada pelaksanaan IPO dan dijangka disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 21 Julai, 2021.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan