AM

Lebih 20,000 Meriahkan Rumah Terbuka Aidilfitri MB Johor, Semangat ‘Bangsa Johor’ Terzahir

21/03/2026 12:41 PM

JOHOR BAHRU, 21 Mac (Bernama) -- Lebih 20,000 rakyat pelbagai kaum membanjiri Rumah Terbuka Aidilfitri Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi hari ini, dengan kehadiran luar biasa itu mencerminkan semangat ‘Bangsa Johor’ serta hubungan erat antara kerajaan negeri dan rakyat.

Seawal 8 pagi, orang ramai hadir bersama keluarga tanpa mengira latar belakang bagi menikmati suasana perayaan yang meriah, dengan 37 gerai menyediakan pelbagai juadah tradisional dan moden.

Antara hidangan yang menjadi tumpuan termasuk ketupat, lemang, rendang, briani daging, soto dan mi rebus, selain kuih-muih serta minuman panas dan sejuk.

Eksekutif swasta, Nor Intan Ilyana Rahman, 34, berkata penganjuran rumah terbuka itu mencipta pengalaman yang lebih bermakna kerana memberi ruang interaksi langsung antara pemimpin dan rakyat.

“Bukan selalu kita dapat berkongsi ruang dalam suasana santai seperti ini. Kehadiran tetamu yang ramai hari ini menunjukkan rakyat selesa dan menghargai pendekatan yang lebih terbuka,” katanya ketika ditemui di Saujana, Kediaman Rasmi Menteri Besar Johor di sini. 

Kerani, G. Tashweena, 29, menyifatkan suasana yang terhasil sebagai gambaran sebenar keharmonian masyarakat di negeri ini.

“Semua kaum duduk semeja, berkongsi makanan dan bertegur sapa tanpa jurang. Ini mencerminkan perpaduan yang berlaku secara semula jadi, bukan dibuat-buat,” katanya.

Pesara, Lim Siew Eng, 62, pula berkata langkah mendekati rakyat melalui program seumpama itu memberi kesan langsung dalam membina keyakinan terhadap kepimpinan negeri.

“Apabila pemimpin bersama rakyat dalam suasana begini, ia mewujudkan rasa saling percaya. Program seperti ini membuatkan rakyat benar-benar rasa dihargai,” katanya.

Rumah terbuka itu bukan sekadar platform menikmati juadah sempena Aidilfitri, sebaliknya berfungsi sebagai ruang sosial yang mempertemukan rakyat pelbagai latar belakang, sekali gus memperkukuh jaringan hubungan masyarakat.

Terdahulu, Onn Hafiz turut meluangkan masa beramah mesra dan bergambar bersama tetamu, menambah lagi kemesraan suasana dalam majlis berkenaan.

Antara pemimpin yang hadir termasuk Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia negeri Lee Ting Han, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor Mohd Hairi Mad Shah dan Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan