BERITA TERGEMPAR   Thailand's Constitutional Court Tuesday suspended PM Paetongtarn pending deliberation of a leaked phone call case | 
 AM

IPBES8: Malaysia saran negara ahli ambil iktibar pandemik COVID-19

05/07/2021 09:54 PM

KUALA LUMPUR, 5 Julai -- Malaysia menyarankan supaya negara ahli dalam mesyuarat Platform Dasar Sains Antara Kerajaan mengenai Biodiversiti dan Perkhidmaan Ekosistem Sesi Ke-8 (IPBES8) supaya mengambil iktibar pandemik COVID-19 yang melanda dunia dengan menilai hubungan antara biodiversiti, air, makanan, tenaga dan kesihatan. 

Menteri Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata Malaysia juga menekankan kepentingan perancangan untuk membina kapasiti serta memperkukuhkan asas pengetahuan dalam kalangan saintis dan pembuat dasar.

"IPBES bertujuan untuk menyokong pemuliharaan dan penggunaan berkekalan biodiversiti daripada aspek saintifik," katanya dalam kenyataan hari ini.

KeTSA mengetuai delegasi Malaysia ke mesyuarat itu yang dijalankan secara maya pada 14 hingga 24 Jun lepas dengan penyertaan 20 pegawai dari kementerian dan agensi terlibat.

Beliau berkata mesyuarat IPBES8 merupakan mesyuarat tahunan bagi IPBES, iaitu sebuah badan antara kerajaan yang berperanan mengkaji isu biodiversiti dan perkhidmatan ekosistem serta memperkukuhkan interfasa antara sains dan dasar mengenai biodiversiti dan perkhidmatan ekosistem. 

Shamsul Anuar berkata mesyuarat IPBES8 juga bersetuju dengan rancangan kerja interim untuk tempoh sesi 2021-2022 bagi membina kapasiti negara-negara ahli, yang Malaysia melalui KeTSA akan terus terlibat secara aktif dalam mesyuarat dan program yang dianjurkan oleh IPBES pada masa hadapan.

Delegasi Malaysia yang terlibat adalah dari Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Kementerian Pembangunan Bandar dan Sumber Asli Sarawak (MUDeNR), Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan). 

 Serta Jabatan Biokeselamatan (JBK), Jabatan Perikanan Malaysia (DOF), Jabatan Pertanian Malaysia (DOA), Sarawak Biodiversity Centre (SBC), Sabah Biodiversity Centre (SaBC) dan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan