EKONOMI

EduCity Iskandar, Maybank bekerjasama lancar Maybank@EduCity

02/07/2021 09:18 PM

JOHOR BAHRU, 2 Julai -- EduCity Iskandar Malaysia Sdn Bhd dan Maybank menjalin kerjasama bagi pelancaran Maybank@EduCity pertama di EduCity Hub, Iskandar Puteri yang menyediakan kemudahan asas perbankan dan khidmat rundingan kewangan untuk penuntut serta tenaga pengajar di kawasan itu.

Maybank@EduCity adalah kemudahan kesembilan seumpamanya diwujudkan Maybank di Malaysia, demikian menurut kenyataan EduCity Iskandar pada Jumaat.

“Penuntut EduCity akan mendapat manfaat menerusi pelbagai siri program celik kewangan selain peluang menjalani latihan industri dengan Maybank, program bimbingan dan sokongan kewangan menerusi Pinjaman Pendidikan Maybank EduCity.

“Maybank@Educity juga dapat memenuhi keperluan komuniti EduCity secara meluas menerusi rangkaian perkhidmatan perbankan utama dan produk kewangan yang menyeluruh,” katanya.

Menurut EduCity Iskandar, kerjasama tersebut akan meletakkan EduCity sebagai Jaguh Kampus Tanpa Tunai menerusi Kempen Komuniti Tanpa Tunai anjurannya.

Acara pelancaran hari ini hari ini telah disempurnakan bersama oleh Ketua Pegawai Modal Insan Maybank Datuk Nora Abd Manaf, Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Iskandar Investment Bhd (IIB) merangkap Pengerusi EduCity Iskandar Malaysia Sdn Bhd Datuk Khairil Anwar Ahmad.

Dalam ucapan aluannya, Khairil Anwar berkata hab tersebut menyediakan ruang untuk penuntut mengadakan perbincangan berkumpulan secara percuma serta perkhidmatan lain termasuk bilik acara atau latihan serta penghasilan dari segi kandungan.

Sementara itu, Nora berkata Maybank@EduCity juga berperanan sebagai platform bagi penerapan usaha celik kewangan menerusi penganjuran bengkel-bengkel dan webinar yang membantu belia lebih bersedia dan cekap dalam bidang itu di masa depan.

“Bagi melengkapkan lagi inisiatif itu serta menggalakkan lebih ramai golongan muda menjadi usahawan, kami turut memperkenalkan inisiatif Usahawan Digital untuk menyediakan mereka dengan mekanisme dan pengetahuan tepat serta dapat berjaya dalam dunia digital,” katanya.

EduCity yang diwujudkan pada 2008 merupakan bandar pendidikan bersepadu sepenuhnya di Iskandar Puteri, Johor.

Ia dimiliki sepenuhnya oleh IIB, syarikat berkaitan kerajaan yang ditubuhkan dengan matlamat untuk memacu pembangunan jangka panjang di Iskandar Malaysia.

Pada masa ini, terdapat sejumlah 14 rakan pendidikan tempatan serta antarabangsa ditempatkan di kawasan tersebut.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan