EKONOMI

Tawaran pengambilalihan BSL Corp pada harga RM1.15 sesaham

23/06/2021 04:25 PM

KUALA LUMPUR, 23 Jun -- BSL Corporation Bhd (BSL Corp) telah menerima pemberitahuan tawaran pengambilalihan mandatori tanpa syarat hari ini bahawa Datuk Seri Dr Pang Chow Huat dan Ho Jien Shiung telah memperoleh 51.72 peratus kepentingan dalam BSL daripada Esteem Role Sdn Bhd pada harga kira-kira RM57.48 juta.

Pang adalah Pengasas dan Pengarah Urusan Sanichi Technology Bhd, manakala Ho adalah Pengarah Eksekutif PNE PCB Bhd dan PDZ Holdings Bhd.

Menurut notis tawaran daripada M&A Securities Sdn Bhd yang dihantar bagi pihak Pang dan Ho, bahawa BSL Corp mengeluarkan kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini, kedua-dua individu tersebut telah memperoleh 49.9 juta saham dalam BSL dari Esteem melalui urus niaga perniagaan langsung pada harga RM1.15 sesaham.

Sebelum pengambilalihan itu, Pang dan Ho tidak memegang sebaran saham BSL, katanya.

Notis itu berkata bahawa harga tawaran RM1.15 itu mewakili premium 5.5 peratus kepada harga penutup BSL RM1.09 pada 22 Jun atau 21.01 peratus premium kepada harga pasaran purata wajaran tiga bulan BSL 95.03 sen sehingga 22 Jun, 2021.

"Selepas pengambilalihan itu, Pang memegang 32.438 juta saham BSL, mewakili 33.57 peratus kepentingan ekuiti dalam syarikat, sementara Ho memegang 17.542 juta saham BSL, mewakili 18.15 peratus kepentingan ekuiti dalam syarikat," katanya.

Pada pukul 3.02 petang, saham BSL Corp naik lima sen kepada RM1.14 dengan 7.63 juta saham diniagakan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan