AM

Timbalan KM Sarawak puji usaha gigih penduduk pedalaman Kapit ke PPV

22/06/2021 09:51 PM

KAPIT, 22 Jun  -- Timbalan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Dr James Jemut Masing memuji usaha gigih 256 penduduk dari 11 buah rumah panjang di kawasan pedalaman Baleh di sini, yang berusaha bertungkus lumus termasuk menggunakan wang mereka sendiri untuk ke pusat pemberian vaksin (PPV) di Sekolah Kebangsaan Nanga Oyan di sini bagi mendapatkan suntikan vaksinasi.

Beliau berkata kakitangan Kementerian Kesihatan (KKM) yang diketuai Dr Hamidi Mohamad Sharkawi dan Residen Kapit, Nyurak Keti memudahkan proses pemvaksinan apabila membenarkan penduduk menerima suntikan vaksin masing-masing dengan segera.

“Dengan syarat mereka (penduduk rumah panjang) memiliki kad pengenalan Malaysia (mereka dibenarkan divaksin). Polis Diraja Malaysia dan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) sangat tegas tetapi sopan ketika mengarahkan orang ramai untuk mengikut barisan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

James Masing yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Baleh berkata beliau berada di sini sejak semalam dan mengunjungi PPV di kawasan pedalaman Dewan Undangan Negeri itu serta di bandar Kapit bagi meninjau pelaksanaan operasi vaksinasi.

"Semua penduduk yang datang untuk menerima vaksin juga sangat teratur kerana menunggu giliran dengan sabar dan mereka yang sempat saya temui menzahirkan rasa sangat bersyukur kerana telah menerima suntikan untuk melindungi diri daripada virus COVID-19," kata Masing.

Masing berkata KKM mempunyai 16 pasukan vaksinasi yang bertugas di Bahagian Kapit dan setakat semalam, mereka berjaya melaksanakan pemvaksinan kepada 4,128 orang.

“Jika bekalan vaksin mencukupi, pasukan ini dapat melakukan vaksinasi sehingga 6,000 orang setiap hari. Sekiranya 21,000 vaksin tersedia setiap minggu seperti yang dijanjikan oleh kerajaan Persekutuan, Bahagian Kapit dapat mencapai 80 peratus imuniti kelompok menjelang akhir Julai ini," tambahnya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan