KUALA LUMPUR, 21 Jun -- Nestcon Bhd, yang dijadualkan untuk disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 29 Jun 2021, menyaksikan bahagian awam tawaran awam permulaannya (IPO) mencatatkan lebihan langganan sebanyak 57.13 kali.
Dalam kenyataan hari ini, syarikat pembinaan itu berkata penyenaraiannya merangkumi terbitan awam sebanyak 160.96 juta saham biasa baharu pada harga terbitan RM0.28 sesaham, mewakili 25 peratus daripada modal sahamnya yang diperbesar.
Langkah IPO itu dijangka meraih hasil kira-kira RM45 juta, bersama dengan tawaran untuk jualan lebih 32 juta saham sedia ada.
“Nestcon telah menerima sebanyak 22,673 permohonan untuk 1.87 bilion saham dengan nilai RM524 juta daripada rakyat Malaysia untuk 32.19 juta saham, mewakili kadar lebihan langganan sebanyak 57.13 kali,” katanya.
Katanya sebanyak 32.19 juta saham untuk permohonan oleh pengarah dan pekerja yang layak telah dilanggan sepenuhnya.
“Tawaran saham persendirian sebanyak 16.10 juta saham untuk pelabur terpilih, bersama dengan 80.48 juta saham untuk pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, juga telah diterbitkan sepenuhnya,” menurut kumpulan itu.
Katanya tawaran untuk jualan sebanyak 32.19 juta saham sedia ada juga telah diterima sepenuhnya, sambil menambah pemberitahuan peruntukan akan dihantar kepada semua pemohon yang berjaya pada atau sebelum 28 Jun.
Pengarah Urusan Nestcon Datuk Lim Jee Gin berkata kumpulan yakin mengenai trajektori pertumbuhannya, disokong oleh nilai perolehan kontrak belum dijelaskan yang kukuh sebanyak RM1.2 bilion yang akan mengekalkan aliran pendapatannya dalam tempoh tiga tahun akan datang.
“Kami menjangka akan mencatatkan keputusan yang memuaskan bagi 2021. Bagaimanapun, apa yang lebih penting ialah prospek pertumbuhan pendapatan masa depan kami selepas 2021, yang kami berharap dapat memberikan kegembiraan kepada pemegang saham kami,” katanya.
Lim berkata Nestcon telah mengemukakan tender untuk 51 projek bernilai RM2.8 bilion -- kontrak yang ditender untuk syarikat pada paras tertinggi sepanjang masa -- iaitu 66 peratus untuk segmen kejuruteraan awam dan infrastruktur manakala bakinya untuk segmen pembinaan bangunan.
Selepas penyenaraian di Pasaran ACE, Nestcon akan mempunyai permodalan pasaran sebanyak RM180.27 juta, berdasarkan harga terbitan sebanyak RM0.28 dan modal saham diperbesar sebanyak 643.82 juta saham.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial