KOTA BHARU, 21 Jun -- Kelab Media Kelantan Darulnaim (KEMUDI) hari ini menyampaikan sumbangan wang tunai kepada semua 75 ahlinya, sebagai bantuan kebajikan bagi membantu meringankan bebanan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini.
Presidennya Shahnun Hanif Abdullah Suhaimi berkata, sumbangan berjumlah antara RM150 hingga RM300 setiap seorang itu juga, berikutan KEMUDI tidak dapat menjalankan pelbagai program yang biasa dilaksanakan kepada ahli seperti program sukan, riadah, lawatan, kursus dan latihan ketika ini.
“Wang tunai berkenaan dikumpulkan oleh kelab sebelum ini hasil sumbangan pelbagai pihak, disumbangkan kepada ahli kerana ketika pandemik ada ahli yang positif COVID-19, menjalani tempoh kuarantin di rumah kerana kontak rapat dengan pesakit positif, serta ada yang tidak dapat bekerja kerana tinggal di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
“Sumbangan juga bagi menghargai jasa semua ahli KEMUDI sebagai petugas media, yang terus bekerja mencari bahan berita tidak kira waktu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Shahnun Hanif berkata, KEMUDI berharap sumbangan wang tunai itu akan menyuntik semangat ahlinya untuk terus bekerja, selain dalam masa sama meringankan bebanan kewangan masing masing.
“KEMUDI meminta semua ahli terus bersatu dan patuh menjaga prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan dengan memakai pelitup muka, menjaga penjarakan fizikal dan sering memakai cecair sanitasi tangan ketika bertugas,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial