AM

PGA7 rampas pelbagai barangan sejuk beku, runcit tanpa invois dari Thailand

19/06/2021 08:10 PM

KOTA BHARU, 19 Jun -- Anggota Batalion Ke-7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) menahan sebuah lori yang membawa barangan sejuk beku dan runcit bernilai RM169,424 tanpa invois dari Thailand di pekan Rantau Panjang, dekat sini, semalam.

Pegawai Pemerintah PGA7 Supt Azhari Nusi berkata lori dipandu seorang lelaki berusia 47 tahun itu ditahan selepas keluar dari Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang pada kira-kira 6 petang.

“Antara barangan yang dirampas adalah pelbagai jenis produk makanan sejuk beku bernilai RM110,415 dan barangan runcit bernilai RM54,009.

Susulan kejadian itu, pemandu dan lori bersama barangan terpaksa ditahan untuk pemeriksaan lanjut mengikut Seksyen 4(1) Akta Makanan 1983,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Azhari berkata keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM229,428 termasuk lori yang bernilai kira-kira RM60,000.

“Pelbagai produk sejuk beku itu juga diragui statusnya dan terpaksa dirampas untuk pemeriksaan lanjut oleh pihak berkaitan,” katanya sambil menambah, satu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Rantau Panjang untuk tindakan lanjut oleh Bahagian Penguatkuasaan Kementerian Kesihatan Malaysia.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan