ALOR SETAR, 16 Jun -- Polis menahan tiga lelaki dan merampas dadah jenis syabu dan heroin bernilai lebih RM80,000 dalam tiga serbuan di Kampung Kubang Badak, Ayer Hangat, Langkawi semalam.
Ketua Polis Daerah Langkawi ACP Shariman Ashari berkata dalam serbuan pertama pada kira-kira 6.00 petang di tepi Jalan Datai di kampung itu, pihaknya menahan dua lelaki berusia 31 dan 40 tahun serta merampas 83.80 gram dadah disyaki syabu bernilai RM10,894.
Beliau berkata kedua-dua lelaki yang menaiki kereta jenis Nissan Sentra ditahan selepas polis mendapati kenderaan itu berada dalam keadaan mencurigakan di tepi jalan.
“Susulan itu, satu lagi serbuan dilakukan ke atas sebuah premis di kampung sama yang disyaki dijadikan tempat kegiatan pengedaran dadah,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Shariman berkata pihaknya menahan seorang lelaki berusia 44 tahun dan merampas dadah jenis heroin seberat 3.80 gram bernilai RM150.
Beliau berkata susulan tangkapan pertama, polis menyerbu sebuah rumah di kampung itu dan menemukan bahan disyaki dadah jenis syabu seberat 532.20 gram yang dianggarkan bernilai RM69,186.
“Hasil tiga serbuan itu, polis turut menyita sebuah kereta Perodua Myvi dan sebuah motosikal Yamaha LC dengan nilai keseluruhan sitaan ialah RM23,500,” katanya.
Shariman berkata ketiga-tiga lelaki direman selama tujuh hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B, 39A(1) dan 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial