KUALA LUMPUR, 15 Jun -- Ekonomi digital Malaysia semakin menjadi tumpuan, didorong oleh akses kepada telefon pintar, kesalinghubungan internet, ketersediaan pasaran terhadap perkhidmatan aplikasi pengangkutan dan penghantaran makanan, peralihan drastik ke arah e-dagang dan syarikat yang mengintegrasikan teknologi dalam perniagaan utama mereka.
Dalam nota penyelidikannya hari ini, Maybank IB Research (Maybank IB) berkata menurut Bank Negara Malaysia, nilai dan jumlah pembayaran digital telah meningkat, masing-masing kepada RM23 bilion dan RM302 juta pada April 2021.
Firma penyelidikan itu menyatakan peningkatan jumlah syarikat e-dompet seperti Touch 'n Go (TNG), Boost dan Grab, telah menyebabkan ruang yang sangat kompetitif, dengan harga yang sangat sensitif untuk memaksimumkan Pengguna Aktif Bulanan (MAU) yang mungkin menjuruskan kepada "survival of the fittest'’.
Sementara itu, persaingan yang dinamik kelihatan lebih baik dalam kalangan pemerolehan pedagang (penyedia terminal pembayaran dan pemproses transaksi) dan antaranya ialah GHL Systems (GHL), Revenue Group Bhd (RGB) dan bank, katanya.
"Kami melihat pemangkin yang lebih kuat daripada pengambilan pedagang yang lebih pantas daripada jangkaan berbanding pertumbuhan Nilai Transaksi yang Diproses, perbelanjaan runcit dan pemulihan pelancongan, usaha pengembangan serantau yang lebih kuat dan keterlihatan daripada sumbangan segmen perkkhidmatan tambah nilai untuk pemeroleh pedagang.
"Bagaimanapun, dengan penilaian penuh, pada masa ini kami bersikap neutral untuk sektor ini dengan saranan '’pegang'’ untuk kedua-dua GHL dan RGB,” kata Maybank IB.
Ia menjelaskan GHL dan RGB mempunyai pendedahan terhad kepada e-dagang yang berkembang pesat, penghantaran barang, penghantaran makanan dan pedagang perkhidmatan dalam talian lain yang berpeluang mendapat keuntungan yang lebih banyak daripada segala rintangan perbelanjaan runcit berikutan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial