SUKAN

Perancangan skuad hoki selepas vaksinasi - Arul

14/06/2021 07:55 PM

KUALA LUMPUR, 14 Jun -- Skuad hoki lelaki negara teruja untuk merancang semula latihan mereka selepas melengkapkan dos kedua vaksin COVID-19 esok, selepas menjalani latihan di rumah selama sebulan kata ketua jurulatih A. Arul Selvaraj.

Beliau berkata, pihaknya akan berbincang bersama Majlis Sukan Negara (MSN) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN), mengenai perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan pada masa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Hanya selepas melengkapkan vaksinasi, kami boleh merancang persediaan pasukan hoki negara dan penyertaan kejohanan selepas tertangguh akibat peningkatan kes COVID-19.

“Kami mahu tahu apakah prosedur operasi standard (SOP) untuk atlet sebaik melengkapkan vaksinasi, sama ada boleh memulakan latihan, pergi ke luar negara untuk latihan dan pertandingan, dan adakah kami masih perlu menjalani kuarantin 14 hari selepas kami balik,” katanya kepada Bernama hari ini.

Pemain pasukan itu telah menjalani latihan fizikal di rumah dan kawasan perumahan masing-masing sejak bulan lepas, selepas tidak dapat menjalankan latihan berpusat di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil akibat PKP.

Dengan Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh yang dijadualkan dari 18-27 Jun dan Kejohanan Jemputan Empat Negara di Valencia di Sepanyol pada Julai, telah dibatalkan, anak buah Arul kemungkinan akan perlu untuk menunggu sehingga Piala Juara-Juara Asia di Dhaka, Bangladesh pada Oktober untuk kejohanan besar.

Arul berkata, beliau akan cuba memastikan anak buahnya sentiasa bersemangat dan memastikan mereka terus dalam keadaan terbaik untuk menghadapi pertandingan pada masa hadapan, kerana pingat emas pada Sukan Asia tahun depan akan memastikan tiket untuk Olimpik Paris 2024.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan