SUKAN

Malaysia Masters 2026: Aaron-Wooi Yik Lebih Tenang

18/05/2026 01:47 PM

KUALA LUMPUR, 18 Mei (Bernama) -- Beregu lelaki nombor satu negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik tidak berdepan tekanan bagi mengharungi kempen Malaysia Masters 2026 bermula esok hingga 24 Mei ini di Unifi Arena, Bukit Jalil, di sini.

Wooi Yik berkata situasi tersebut berbeza dengan kempen tahun lepas yang menyaksikan mereka kembali ke tanah air membawa harapan tinggi peminat selepas merangkul dua gelaran iaitu Kejohanan Badminton Asia 2025 pada April dan Terbuka Thailand 2025, pada Mei.

“Kali ini kita rasa lebih tenang dan kita akan melakukan yang terbaik,” katanya kepada pemberita selepas sesi ujian gelanggang Malaysia Masters 2026 hari ini.

Pilihan utama kejohanan bertaraf Super 500 itu dijadual membuat perhitungan dengan pasangan Singapura Wesley Koh-Kubo Junsuke pada pusingan pertama.

Aaron-Wooi Yik muncul naib juara edisi lepas setelah tewas kepada rakan senegara Man Wei Chong-Tee Kai Wun 12-21, 21-15, 16-21.

Kejohanan Malaysia Masters 2026 menawarkan hadiah wang kemenangan keseluruhan berjumlah USD500,000 (RM1.98 juta).

Dalam pada itu, Aaron berkata fokus utama mereka ketika ini adalah beraksi di Terbuka Singapura 2026 yang dijadual berlangsung dari 26-31 Mei, disusuli Terbuka Indonesia 2026 dari 2-7 Jun.

Terbuka Singapura yang merupakan kejohanan bertaraf Super 750 menawarkan hadiah wang kemenangan keseluruhan USD1 juta (RM3.98 juta), manakala Terbuka Indonesia yang bertaraf Super 1000 memberikan ganjaran wang keseluruhan berjumlah USD1.45 juta (RM5.78 juta).

Sementara itu, pemain beregu lelaki negara Wan Arif Wan Junaidi berkata beliau sudah bersedia untuk beraksi di Malaysia Masters 2026 meskipun baru kembali ke gelanggang susulan kecederaan meniscus tear di kaki kanan ketika beraksi pada All England 2026 di Birmingham, Mac lepas.

Pasangannya Yap Roy King pula berkata tahap ketahanan mental juga semakin baik dan optimis mampu menyajikan persembahan baik di hadapan peminat sendiri.

Wan Arif-Roy King, yang menduduki ranking ke-16 dunia, akan membuka tirai kempen Malaysia Masters 2026 menentang He Zhi-Wei-Huang Jui-Hsuan dari Taiwan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan